Laman Tok Mah kembalikan nostalgia suasana kampung - Utusan Malaysia

Laman Tok Mah kembalikan nostalgia suasana kampung

LAMAN yang luas di Laman Tok Mah yang terletak di Tasek Gelugor, Pulau Pinang menjanjikan suasana kedesaan bagi mereka yang ingin mengimbau nostalgia desa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Laman Tok Mah mungkin tidak asing bagi penggemar kopi, namun bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke situ pasti akan terpana dengan keaslian reka bentuk rumah Melayu lama yang masih tersergam indah yang terletak di Kampung Pokok Tampang, di sini.

Manakan tidak struktur binaan rumah Melayu lama yang diperbuat daripada kayu cengal kelihatan masih utuh tersergam meskipun sudah berusia lebih 50 tahun.

Ia berikutan pemiliknya Mohamad Yazdi Yaacop, 43, bersama isteri, Siti Zaitun Suid, 41, menjadikan rumah tersebut sebagai lokasi kepada peminat kopi dengan menjual kopi yang dibru segar selain ingin merasai sendiri suasana desa di situ.

MOHAMAD Yazdi Yaacop bersama isteri, Siti Zaitun Suid dan anak mereka Damia ketika ditemui di Laman Tok Mah, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Laman Tok Mah ini sebenarnya berasal dari rumah kediaman yang diduduki sendiri oleh Tok Mah atau nama sebenar Tinah Kanis yang kini sudah meninggal dunia.

“Malah, saya juga pernah menetap di rumah ini bersama Tok Mah, mak cik Melah (Melah Sulaiman) dan dua beradik lain sejak kecil setelah kedua ibu bapa berpisah,” kata Mohamad Yazdi kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

LAMAN yang luas di Laman Tok Mah yang terletak di Tasek Gelugor, Pulau Pinang menjanjikan suasana kedesaan bagi mereka yang ingin mengimbau nostalgia desa.

Katanya, sebelum tercetusnya idea untuk membuka kafe ala kampung tersebut, dia terlebih dahulu menggunakan rumah Tok Mah sebagai sebagai lokasi untuk program Inap Ilmu.

Program itu merupakan kerjasama dengan pihak Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) sekitar tahun 2020-2021.

“Namun, program tersebut hanya bertahan kira-kira setahun berikutan negara terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19 sekitar tahun 2020 dan 2021 dan akhirnya rumah Tok Mah dibiarkan kosong tidak berpenghuni.

“Meskipun begitu, saya akan datang ke rumah Tok Mah dua minggu sekali atau sebulan sekali untuk menguruskan hal-hal rumah seperti mengemas, membuka tingkap serta memotong rumput di halaman rumah bagi memastikan keadaan rumah Tok Mah sentiasa terjaga,” katanya sambil menambah, dia dan isteri tidak menetap di situ sebaliknya menetap di Padang Serai, Kedah.

Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, Laman Tok Mah yang ‘dihidupkan semula’ pada pertengahan Oktober 2022 itu menghidangkan sajian klasik atau menu orang ‘dulu-dulu’ yang disifatkan amat sinonim dengan zaman ‘datuk nenek’.

MOHAMAD YAZDI Yaacop menunjukkan hidangan kopi yang dibru sendiri untuk pelanggan yang berkunjung di Laman Tok Mah yang terletak di Kampung Pokok Tampang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Selain itu, Laman Tok Mah turut menghidangkan air kopi mesin yang dibancuh sendiri bagi pengunjung yang ingin mengimbau nostalgia suasana di desa.

“Antara hidangan klasik yang menjadi tarikan pelanggan ialah ubi kayu rebus, bihun sup, tapai pulut, bihun goreng kuah laksa dan lain-lain menu tambahan yang disediakan oleh pengusaha tempatan.

“Laman Tok Mah tidak mempunyai ‘team kitchen’ dan bergantung menu makanan daripada usahawan tempatan selaras dengan usaha kami ingin membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.

Dia menambah, dekorasi dalaman rumah tersebut turut dikekalkan bagi memastikan keasliannya selain ingin menimbulkan ‘mood’ kedesaan kepada pelanggan yang menikmati hidangan sama ada di dalam rumah mahupun di luar laman rumah.

SITI ZAITUN Suid menunjukkan hidangan klasik ubi kayu rebus yang boleh didapati di Laman Tok Mah yang terletak di Kampung Pokok Tampang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Hiasan dalaman adalah berkonsepkan kesederhanaan bagi memelihara keaslian rumah Tok Mah.

“Pelanggan juga boleh menikmati hidangan mereka di bahagian atas di dalam rumah, serambi, bahagian bawah rumah serta di laman hadapan rumah.

“Cumanya, kami hanya menambah baik sistem pendawaian dan membaiki bahagian rumah jika ada yang kelihatan usang bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin dan keadaan rumah terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya