Kutipan zakat PPZ-MAIWP tahun lalu cecah RM1 bilion

Kutipan zakat PPZ-MAIWP tahun lalu cecah RM1 bilion

MOHD. Na'im Mokhtar menunjukkan jumlah kutipan zakat 2023 PPZ-MAIWP di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya mengutip keseluruhan zakat lebih RM1 bilion sepanjang tahun lalu.

Kutipan itu mencapai sasaran ditetapkan dan kali pertama mencecah angka RM1 bilion berbanding RM937,036,444.09 yang dikutip pada tahun 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, secara keseluruhan, MAIWP mengutip RM1,035,822,412.22 iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, jumlah zakat pendapatan yang dikutip pada tahun lalu menyumbang kutipan tertinggi iaitu sebanyak 68 peratus atau RM702 juta.

“Ia diikuti zakat perniagaan sebanyak 16 peratus atau RM165 juta manakala bakinya terdiri daripada zakat wang simpanan, zakat harta, fitrah, qadha dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar prestasi dan kutipan zakat PPZ-MAIWP 2023 di sini, hari ini.

Katanya, jumlah kutipan zakat itu diperoleh daripada 1,851,852 pembayar zakat bagi tiga wilayah persekutuan itu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Mohd Na’im berkata, kejayaan kutipan itu didorong beberapa faktor termasuk keberkesana pelaksanaan strategi pemasaran dan promosi berterusan serta kepelbagaian saluran bayaran zakat oleh PPZ-MAIWP.

“PPZ-MAIWP berjaya mencapai kutipan dan pembayar lebih tinggi berbanding tahun 2022 meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan situasi ekonomi dunia yang tidak stabil,” katanya.

Katanya, saluran bayaran melalui potongan gaji zakat menjadi pilihan utama pembayar yang mana menyumbang 50 peratus daripada keseluruhan kutipan iaitu sebanyak RM519 juta diikuti saluran kaunter (RM175 juta), Portal PPZ-MAIWP (RM132 juta) dan ejen (RM61 juta).

Jelasnya lagi, PPZ-MAIWP akan terus menganjurkan pelbagai kempen dengan sasaran yang berbeza seperti Kempen Mesra Majikan, Kempen Jom Potong, Kempen Jom Tambah, Kempen Jom Ulang dan Kempen Year End Zakat bagi menarik minat pembayar zakat.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, sepanjang tahun lalu, PPZ-MAIWP berjaya mengagihkan sejumlah RM952,272,327 dana zakat kepada lebih 30,000 penerima membabitkan lapan golongan asnaf.

“Berdasarkan jumlah agihan tersebut, PPZ- MAIWP telah berjaya mengagihkan sebanyak 93 peratus daripada jumlah kutipan yang diterima,” katanya.

Katanya, PPZ-MAIWP turut menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf sebanyak RM1.125 bilion dengan sasaran jumlah bilangan pembayar zakat meningkat kepada 1,961,400 orang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya