PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) bersetuju dengan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah dilaksanakan secara dua fasa.
Menurut KPTDGA, fasa satu penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah berkuat kuasa pada 3 Januari semalam, manakala fasa dua melibatkan penyerahan SESB dalam tempoh tujuh tahun yang dijangka selesai pada tahun 2030.
“Keputusan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963.
“Dengan pelaksanaan pemindahan kuasa kawal selia tersebut, Kerajaan Negeri Sabah boleh melaksanakan perancangan dan pembangunan pembekalan elektrik di Sabah dengan sendiri.
“Walaupun demikian, Kerajaan Persekutuan bersedia bekerjasama dan membimbing sekiranya pihak Sabah memerlukan bantuan dan khidmat nasihat daripada Kerajaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Selepas penyerahan tersebut, KPTDGA berharap Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dalam menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah, sekali gus memenuhi peningkatan permintaan elektrik di negeri berkenaan. – UTUSAN