PETALING JAYA: Kuala Lumpur masih ‘dicemari’ dengan minda kelas ke-3 susulan beberapa kawasan di ibu negara dipenuhi dengan sampah selepas menjadi lokasi tumpuan untuk menyambut tahun baharu 2024.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan rasa kesal mereka apabila masih perlu melalui situasi sama setiap kali tamat sambutan tahun baharu.
“Hari ini merupakan hari pertama kita menjejaki tahun 2024, semalam tahun 2023 ditinggalkan dengan seribu kenangan. Masing-masing daripada kita sudah pasti memasang azam untuk lebih berjaya dalam mengejar impian pada tahun ini.
Namun permulaan bagi Kuala Lumpur pada tahun ini seperti biasa dicemari dengan sikap sesetengah warga kota yang masih mempunyai sikap dan cara berfikir di takuk lama.
“Membuang sampah sesuka hati dengan anggapan ‘pandai-pandai la DBKL bersihkan nanti’. Peliknya, kita masih nak bandingkan Kuala Lumpur dengan bandar-bandar di negara yang lain dari segi keindahannya? Kena tengok la bagaimana sikap warga mereka dalam soal kebersihan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, pihaknya tidak meminta masyarakat untuk membantu membersihkan kawasan tetapi cukup sekadar tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga kebersihan.
“Bukannya minta anda tolong bersihkan kawasan, cukup sebagai permulaan, masing-masing urus sampah sendiri. Jangan buang merata dan kalau perlu, bawa plastik sampah sendiri,” katanya. –UTUSAN