BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan sehingga setengah juga suri rumah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sepanjang tahun ini.
Menterinya, Steven Sim berkata, ketika ini, jumlah pencarum untuk skim tersebut adalah sekitar 200,000 sahaja sejak diperkenalkan pada penghujung 2022.
Menurut beliau, jumlah berkenaan dianggap rendah kerana berdasarkan statistik semasa, terdapat lebih tiga juta wanita yang bertugas sebagai suri rumah sepenuh masa ketika ini.
Sehubungan itu, ujarnya, KSM sedang memperincikan perkara tersebut dan akan mengumumkan strategi serta rancangan yang lebih baik dalam masa terdekat.
“Kita memang ‘all out’ (bekerja keras) dalam hal ini dan telah meletakkan satu sasaran khusus untuk meningkatkan jumlah pencarum iaitu daripada kira-kira 200,000 orang kepada 500,000 pada tahun ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja pertamanya ke pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang di Seberang Jaya, dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sempena lawatannya itu juga, beliau menyerahkan sumbangan berupa faedah kepada beberapa pencarum Perkeso yang terpilih dengan nilai keseluruhan melebihi RM90,000.
Dalam pada itu, beliau berkata, SKSSR bukan sahaja terhad untuk suri rumah sepenuh masa, tetapi wanita yang bekerja juga boleh mencarum, namun tertakluk kepada syarat tertentu termasuk tidak melebihi usia 55 tahun.
“Sebenarnya, skim ini terbuka kepada semua wanita tidak kira suri rumah atau wanita belum berkahwin dan wanita tidak bekerja tetapi mempunyai tugasan lain dan sebagainya,” ujar beliau.
Ditanya mengenai kemungkinan SKSSR diperluas kepada golongan lelaki yang menjadi suri rumah pada masa hadapan pula, Steven berkata, pihaknya bersedia untuk menimbangkan kemungkinan tersebut.
“Skim ini belum ada lagi (untuk lelaki) tetapi kita boleh pertimbangkannya pada masa depan. Buat masa ini, saya melihat keperluan sekarang lebih mendesak untuk golongan wanita,” katanya. – UTUSAN