KPDN perkenal inisiatif Ihsan Rahmah Swasta, Industri

KPDN perkenal inisiatif Ihsan Rahmah Swasta, Industri

ARMIZAN Mohd. Ali pada Majlis Amanat Tahun Baru KPDN 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkasa dan menambah baik pelaksanaan konsep Payung Rahmah pada tahun ini antaranya melalui komponen inisiatif Ihsan Rahmah Swasta dan Industri.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perluasan pendekatan konsep itu diyakini mampu meningkatkan lagi keterangkuman pelbagai pihak sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai anggota masyarakat.

“Kita membuka ruang untuk penglibatan aktif daripada pihak swasta dan industri di mana mereka boleh merintis dan memperkenalkan sendiri program atau inisiatif berbentuk sumbangan ihsan kepada komuniti termasuk para pekerja.

“Konsep Rahmah yang menjadi tema program dan agenda kebajikan kerajaan kini akan turut diperluas melibatkan pihak swasta dan industri dengan idea dan model mereka sendiri, namun masih berpandukan kepada garis panduan Payung Rahmah,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baru KPDN 2024 di sini hari ini.

Menurut beliau, antara program yang boleh ditawarkan oleh pihak swasta dan industri seperti pemberian diskaun, rebat atau pulangan tunai, namun ia masih lagi sedang diperhalusi.

Armizan berkata, bagi tahun 2024, KPDN menyasarkan untuk merintis lima inisiatif di bawah Ihsan Rahmah.

Jelasnya, sebelum ini, sebanyak lima inisiatif diperkenalkan di bawah konsep Payung Rahmah iaitu Jualan Rahmah, Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan program Jualan Rahmah juga akan ditambah baik melalui beberapa pendekatan seperti pelancaran takwim bulanan Jualan Rahmah 2024 melalui portal rasmi KPDN, penawaran produk Pasar Rahmah, penganjuran Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) pada musim perayaan dan memperluas bazar Ramadan.

“Sekarang KPDN negeri atau pasar raya terlibat akan memberikan jadual untuk sebulan lebih awal, supaya lebih mudah rakyat di kawasan Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk mengetahui lebih awal bila kah tarikh dan lokasi program-program yang diadakan.

“Kalau sebelum ini Jualan Rahmah lebih tertumpu kepada barangan kering, tapi untuk penambahbaikan tahun ini kita akan bawa barang-barang pasar basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya,” ujarnya.

Kata Armizan, pemerkasaan konsep Payung Rahmah ini dilaksanakan hasil daripada dapatan kajian impak pada September hingga November lalu dengan 81 peratus daripada responden berpuas hati dengan pelaksanaan program-program tersebut, manakala sebahagian lagi berpendapat ia perlu ditambah baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya