KPDN Perak serbu ladang ayam simpan LPG subsidi - Utusan Malaysia

KPDN Perak serbu ladang ayam simpan LPG subsidi

ANGGOTA penguatkuasa memeriksa tong LPG yang dirampas dalam serbuan di sebuah ladang ternakan ayam di Tapah semalam. - UTUSAN/IHSAN KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sebuah ladang ternakan ayam diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam, selepas dikesan menyimpan gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit yang sah.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan oleh KPDN cawangan Tapah pada pukul 8.30 pagi selepas risikan dan pemantauan dijalankan anggota selama dua minggu.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, ditemui sejumlah tong LPG disimpan di tempat khas berhampiran ladang berkenaan.

“Seorang lelaki berusia 45 tahun yang mengaku sebagai kerani memberitahu bahawa gas LPG itu adalah kegunaan ladang bagi proses memanaskan anak ayam.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati lelaki itu gagal mengemukakan sebarang permit menyimpan barang kawalan apabila diminta.

“Oleh itu, kita mengambil tindakan dengan menyita 84 tong berisi gas LPG berjenama dan 97 tong kosong berjenama dengan nilai rampasan berjumlah RM20,334.40,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melakukan kesalahan iaitu memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

Katanya, siasatan lanjut juga akan dijalankan terhadap syarikat pemborong LPG kerana menjual barang kawalan kepada pihak yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan.

“Pengusaha ladang diingatkan agar menggunakan gas LPG komersil dan industri untuk perniagaan, bukannya menggunakan gas LPG bersubsidi kerana barang kawalan itu hanya untuk kegunaan untuk isi rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya