LANGKAWI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membuka kertas siasatan ke atas peniaga yang menjual hidangan ayam goreng kunyit pada harga RM20 di sebuah restoran di sini.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, peniaga terbabit telah memberikan maklum balas terhadap Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikemukakan pihaknya.
“Satu kertas siasatan akan dibuka dan maklum balas serta dokumen yang diterima akan diserahkan kepada Unit Antipencatutan Negeri Kedah bagi analisa pencatutan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, serahan notis mengikut Seksyen 53A Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikemukakan kepada peniaga itu pada kelmarin.
Terdahulu, KPDN memberikan tempoh dua hari kepada pemilik kedai makan terbabit untuk memperincikan nilai atau kos bagi menu ayam goreng kunyit yang didakwa dijual pada harga RM20 sepinggan.
Pemilik kedai makan terbabit turut mengakui harga menu berkenaan telah dipamerkan kepada pelanggan.
Sebelum ini,tular di media sosial seorang pelanggan melahirkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj RM20 untuk hidangan sepinggan ayam goreng kunyit di sebuah restoran di Pantai Chenang.
Pengadu yang dikenali sebagai Hada Jais turut memaklumkan terpaksa membayar RM24 untuk keseluruhan hidangan dipesannya, iaitu sepinggan ayam goreng kunyit (RM20) sepinggan nasi putih berharga RM3 dan air kosong (RM1). -UTUSAN