KUALA LANGAT: Seorang anggota polis dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, hari ini atas pertuduhan ke penyalahgunaan dadah, dua tahun lalu.
Majistret Khairul Farhi Yusob memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Koperal Zamri Husin, 50, di akhir kes pendakwaan.
Khairul dalam penghakimannya berkata, kegagalan memanggil pegawai yang bertugas menahan tertuduh sebelum sampel urinnya diambil menimbulkan satu keraguan ke atas kes pendakwaan.
“Selain itu, adalah kegagalan Pegawai Sains Hospital Kuala Lumpur untuk menyatakan di dalam laporan makmalnya jenis dadah seperti diperuntukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Justeru, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa memasukkan dadah berbahaya Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam tubuh badannya di bilik mesyuarat bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pukul 4.11 pagi, 6 Julai 2022. – UTUSAN