IPOH: Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang akan diadakan di sini pada 28 Januari ini menjadi landasan untuk menguruskan perbezaan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terutama di peringkat akar umbi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, konvensyen tersebut adalah usaha menyuburkan semangat perpaduan dan keharmonian kalangan parti serta sepakat mencipta naratif kerjasama yang lebih jitu bagi menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau juga Pengerusi BN Perak berkata, perkara-perkara yang akan disentuh, diucapkan dan dibahaskan adalah bagi mengukuhkan kerajaan Perpaduan Perak serta menyelesaikan perbezaan.
“Mungkin ada perbezaan, tetapi kita kena uruskan untuk menjadi persamaan. Tujuannya untuk mencari titik pertemuan, titik persamaan.
“Sudah tentu kita faham, kita ada berbeza pandangan dan pendapat, tapi semuanya hendaklah menjurus kepada bagaimana kita nak menguruskan perbezaan itu untuk mengukuhkan dan menguatkan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan penganjuran konvensyen di sini hari ini.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir ke konvensyen tersebut.
Kedua-dua PH dan BN menjangkakan 1,500 peserta akan hadir dengan Anwar dan Ahmad Zahid dijadual berucap semasa penutupan konvensyen.
Sementara itu Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula mengharapkan konvensyen itu dapat mencetuskan usaha di peringkat akar umbi serta mengharapkan perpaduan itu boleh kekal berterusan sampai ke pilihan raya akan datang.
Jelasnya, beliau difahamkan Perak adalah negeri pertama untuk mengadakan konvensyen itu selepas dibuat oleh peringkat nasional. – UTUSAN