Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak 28 Januari ini - Utusan Malaysia

Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak 28 Januari ini

SAARANI Mohamad (tengah) meneliti aduan rakyat pada program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak akan diadakan pada 28 Januari depan, dengan tumpuan diberikan terhadap prestasi kerajaan yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik terlibat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu akan diadakan di Hotel Casuarina, Ipoh yang bakal dihadiri oleh pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, beliau akan menyampaikan ucapan utama yang kemudian dibahaskan oleh para pembahas.

“Setelah setahun membentuk kerajaan bersama, kita melihat semula apa kelemahan kita, apa kelebihan kita.

“Sudah tentu kita kena buat jangkaan untuk menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding setahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri siri pertama Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak untuk tahun 2024 di sini hari ini.

Kerajaan Perpaduan Perak merupakan antara kerajaan negeri terawal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, dengan menggabungkan PH yang menang 24 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN mempunyai sembilan kerusi.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Hari Bertemu Pelanggan hari ini, beliau berkata, program tersebut merupakan kesinambungan program yang telah dimulakan kali pertama pada 8 Februari 2022.

Tambahnya, sepanjang tempoh penganjuran 17 siri HBP diadakan sejak 2022 hingga tahun lalu, dengan sebanyak 2,356 aduan diterima.

Jelasnya, daripada jumlah itu 2,280 aduan atau 97 peratus aduan berjaya diselesaikan.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus menjadikan pendekatan turun padang sebagai salah satu tunjang pentadbiran kerajaan. Maknanya kita telah berjaya untuk mencapai tujuan HBP diadakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedia membantu pelaksanaan serta pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh kerajaan Pusat terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai akses termasuk masyarakat Orang Asli dan penduduk pendalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya