PUTRAJAYA: Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang dijadual berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac depan akan mencipta usaha memperkasa bumiputera dalam soal teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, KEB yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu juga akan menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, KEB yang dianjurkan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet itu akan menumpukan 10 kluster utama.
“Antara kluster itu termasuk reformasi pendidikan dan mosal insan, pengukuhan industri halal, ekonomi bumiputera Sabah, ekonomi bumiputera Sarawak dan penguasaan teknologi baharu.
“(KEB) libatkan semua golongan profesional, ahli akademik dan pemain dalam industri yang terlibat dalam setiap kluster diwujudkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2024 KKDW di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, KKDW dan Kementerian Ekonomi juga melantik pengerusi bagi setiap kluster bagi menjayakan KEB kali ini.
Menurutnya, perancangan KEB tentunya bukan hanya mewujudkan resolusi tetapi sektetariat tetap untuk memantau pelaksanaan resolusi bagi setiap kluster dibentuk. – UTUSAN