Tak Perlu Reset
“TIDAK Perlu Reset, Menerus dan Menambahbaik SemangatKecemerlangan dan Kualiti’, begitulah ungkapan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam amanat beliau baru-baru ini bersempena program Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM).
Sebagai orang lama dalam arena pentadbiran negara, beliau menyeru komuniti pendidikan tinggi agar sentiasa beradaptasi
dalam meladeni cabaran arus global semasa dengan penetapan minda yang optimistik dan bervisi.
Beliau meyakinkan semua bahawa komuniti pendidikan tinggi tidak perlu menekan butang reset berikutan perubahan tampuk
pimpinan KPT, kerana semangat kecemerlangan yang telah dibina demi meningkatkan kualiti pendidikan negara akan tetap
diteruskan bersama tekad dan momentum yang sama. Sekali air bah, tak semestinya pantai berubah.
Warga IPT sedari awal sudah bersedia untuk menyahut seruan YB Menteri yang mahu semua warga pendidikan tinggi berganding
bahu, membentuk kesepakatan pemikiran dalam memberi pulangan terbaik buat seluruh masyarakat.
Seiring saranan YB Menteri yang mahu semua IPT bermula dengan suatu landasan asas yang sama dalam menentukan kejayaan dan keberhasilan gerak kerja, warga Universiti Watan ini turut percaya bahawa manfaat yang lebih besar sedia menanti, seandainya pelaksanaan inisiatif pendidikan adalah berpaksi kepada nilai, budaya dan jati diri kebangsaan.
Kecemerlangan Tanpa Kompromi
Benarlah seperti yang diusulkan oleh YB Menteri KPT apabila beliau menyebut ‘kecemerlangan adalah satu kemestian’ kerana kecemerlangan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Dengan adanya interaksi aktif dua hala dengan pelbagai rakan strategik dari dalam dan luar negara, semua warga IPT harus bersedia untuk meneroka segala peluang yang ada, di samping mencari amalan terbaik yang boleh diadaptasi dalam mencapai kejayaan dan keunggulan yang berterusan.
Sebagai way forward untuk semua, YB Menteri telah berkongsi Lima Fokus Utama KPT berkaitan keperluan untuk peningkatan
kualiti sistem pendidikan negara iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan & Inovasi, Pelaksanaan
Pendekatan Baharu Program Pemindahan & Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dan Pemantapan Ekosistem
Pemboleh Daya.
Dalam ucapan beliau, YB Menteri KPT turut menggariskan 20 catatan keprihatinan sebagai landasan dalam menuju ke arah peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara. Antara intipati yang wajar diketengahkan adalah:
Pembentukan “otak dan watak” yang membawa kepada pembangunan bakat masa hadapan yang berilmu, berkemahiran tinggi
dan berbudaya watan;
Kemenjadian mahasiswa, di mana ekosistem pendidikan yang holistik dan terangkum akan menghasilkan pelajar dan
mahasiswa “bitara yang mempunyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan progresif;
Ekosistem pendidikan yang holistik melibatkan penyertaan aktif oleh pelbagai rakan strategik bagi memastikan cabaran global terkini
dapat didepani secara tangkas dan menyeluruh, serta Kebijaksanaan komuniti pendidikan tinggi dalam menangani kerenah birokrasi di samping menitikberatkan kecemerlangan dan keunggulan perkhidmatan demi manfaat semua peningkat komuniti.
Sokongan Berterusan
UKM akan terus menyokong saranan YB Menteri untuk mendiagnosis tahap pencapaian pendidikan tinggi secara menyeluruh dan telus bagi membolehkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang Baharu dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan terangkum.
Insya-Allah, berbekalkan 20 Landasan Peningkatan Kecemerlangan Pendidikan yang menggarisbawahi kerangka gerak kerja berstrategi, semua warga IPT semakin bersedia untuk mendepani apa jua cabaran yang mendatang.
Semoga landskap pendidikan tinggi negara akan terus diwarnai dengan pelbagai pencapaian agar aspirasi kita dalam membina Malaysia MADANI sebagai hab pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa akan segera terlaksana.
Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia.