PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 96,127 notis kesalahan merokok di seluruh negara tahun lalu iaitu meningkat ketara berbanding 67,350 notis bagi tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 41,581 notis kesalahan dikeluarkan pada tahun 2023 atas kesalahan merokok di kedai makan berbanding 30,648 notis pada tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, pihaknya memandang serius isu aduan kesalahan merokok di tempat larangan terutama di premis makan yang semakin menjadi-jadi dan tular di media-media sosial.
Beliau berkata, pihaknya tidak pernah menghentikan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok, malah ia dijalankan secara berkala di semua negeri di seluruh negara.
“Secara keseluruhan, sebanyak 16,046 operasi di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dilaksanakan tahun lalu berbanding 12,773 operasi pada tahun 2022.
“Lima negeri mencatat notis kesalahan merokok di tempat makan tertinggi tahun lalu iaitu Selangor dengan 6,126 notis, Johor (5,174 notis), Perak (4,365 notis), Sarawak (4,240 notis) dan Pahang (4,002 notis),” katanya selepas meninjau ‘Op Kedai Makan’ di sini, malam tadi.
Menerusi operasi selama dua hari iaitu pada kelmarin dan semalam itu, sebanyak 119 notis kesalahan dengan nilai kompaun sebanyak RM28,950 dikeluarkan terhadap individu yang merokok di kedai makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dalam pada itu, Dr. Norhayati berkata, operasi penguatkuasaan ini menyasarkan tempat larangan seperti premis makan, kompleks beli-belah, hentian pengangkutan awam, mana-mana kawasan premis kerajaan dan stesen minyak.
“Kami ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan menghukum golongan perokok tetapi bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.
“Pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa,” katanya,. – UTUSAN