PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) mengesahkan sudah ada anak syarikat di bawah kementeriannya yang ditutup kerana tidak merekodkan keuntungan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat lanjut mengenai syarikat yang ditutup itu akan didedahkan di Parlimen.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa berkata, kementerian sudah menawarkan kaedah management buyout (MBO) atau pengambilalihan oleh pengurusan kepada anak syarikat itu.
“Telah ada (anak syarikat) yang ditutup. Saya juga arahkan kepada pengerusi-pengerusi agensi dan lembaga kemajuan wilayah supaya berusaha memulihkan semula syarikat yang tidak mempunyai keuntungan.
“Elok cari jalan untuk menyumbang kepada keuntungan kepada agensi dan KKDW dan jika tidak (gagal), arahan saya sila tutup. Ini sangat penting supaya kita tak tanggung ‘ biawak hidup’ dalam organisasi kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun 2024 KKDW di sini hari ini.
Katanya, kementerian juga menyerahkan kepada mereka (pengurusan syarikat) bayaran nominal (setimpal) jika mereka ingin keluar daripada anak syarikat itu.
Ahmad Zahid berkata, ia (tindakan) satu acuan baharu kepada kementerian (KKDW), malah perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malah Perdana Menteri menggunakan acuan itu untuk mengarahkan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) melakukan tindakan sama,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mengarahkan supaya anak syarikat agensi di bawah KKDW yang tidak memberikan keuntungan akan ditutup dan digabungkan dengan anak syarikat lain bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan. – UTUSAN