Khutbah Jumaat: Prihatin proses penuaan untuk kekal positif, produktif ketika tua - Utusan Malaysia

Khutbah Jumaat: Prihatin proses penuaan untuk kekal positif, produktif ketika tua

Masjid Negeri Pulau Pinang - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Masyarakat hari ini perlu diingatkan untuk sentiasa prihatin terhadap proses penuaan yang berlaku supaya menjadi lebih positif dan produktif ketika usia tua sehingga mencapai pengakhiran yang terbaik.

Itu antara intipati di dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Menginsafi Fitrah Penuaan’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), hari ini.

Teks khutbah itu dibacakan di seluruh masjid negeri ini ketika solat Jumaat hari ini.

Dalam khutbah itu turut disebut penuaan penduduk adalah isu global termasuk di Malaysia yang terjadi disebabkan peningkatan jangka hayat serta penurunan kadar kesuburan.

“Unjuran daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melihat Malaysia bakal menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030 nanti.

“Keadaan ini berlaku apabila penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk di negara itu,” katanya.

Turut disentuh dalam khutbah itu ialah kesan utama akibat daripada menjadi negara menua yang akan menyebabkan risiko khususnya kepada warga emas.

Keadaan itu, katanya, akan mengakibatkan warga emas menjadi sukar untuk meneruskan kehidupan lanjut usia mereka disebabkan oleh aspek kemudahan awam yang terhad dan tidak mencukupi.

Jelas khutbah itu, ini termasuk akses kepada kesihatan, pendapatan dan kewangan, penyertaan sosial serta keselamatan nyawa.

Selain itu, khutbah tersebut turut mengingatkan pemimpin dan masyarakat tentang peranan mereka dalam melindungi hak golongan warga emas seperti yang termaktub dalam perundangan negara ketika ini.

“Hak dan tanggungjawab pemimpin serta peranan masyarakat terhadap golongan warga emas itu perlu dipenuhi.

“Mereka (warga emas) harus dilindungi daripada segala bentuk pengabaian, diskriminasi dan penganiayaan, selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang itu,” ujar khutbah berkenaan.

Dalam pada itu, khutbah yang sama turut mengingatkan dan menekankan tanggungjawab anak-anak untuk menjaga ibu bapa seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Pada masa sama, katanya, peranan dan tanggungjawab anak-anak dalam menghormati serta menjaga kedua orang tua mereka juga perlu dititikberatkan kerana Baginda sendiri telah mengajar umat manusia untuk sentiasa berbakti dan berbuat baik kepada ibu dan bapa selagi mana mereka masih hidup.

“Pendekatan Maqasid Syariah dalam pengurusan warga emas khususnya kepada pengurus institusi penjagaan merupakan elemen penting dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas dari aspek rohani dan jasmani.

“Dalam hal ini, infrastruktur dan persekitaran yang selesa merupakan elemen penting dalam memenuhi keperluan asasi warga emas selain keperluan fizikal,” kata khutbah tersebut.

Tambahnya, keperluan untuk mengambil berat dalam menambah ilmu pengetahuan dan amalan-amalan berkaitan keagamaan yang kesannya akan memberikan kebaikan kepada jiwa dan roh juga tidak boleh diabaikan sekali gus dapat memanfaatkan usia tua dengan meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya