PETALING JAYA: Biarpun telah berpisah dengan isteri, namun pelakon Keith Foo tetap menjaga hubungan baik dan sanggup mengetepikan ego supaya anak mereka tiudak terherat sama dalam masalah rumahtangga.
Jelas Keith, sekiranya pasangan tersebut sudah buntu dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga, sebaiknya perceraian dilakukan dengan keadaan baik tanpa ada dendam terutama jika mempunyai anak bersama.
“Jika kita rasa sudah tidak boleh meneruskan hubungan, terasa toksik dan dalam masa sama ada anak bersama, takkan kita nak teruskan hubungan? Takkan nak biar anak membesar melihat keadaan itu?
“Tetapi bagi saya, apa pun yang terjadi antara pasangan, jangan bawa anak ke dalam konflik tersebut. Ketepikan ego dan cuba sedaya upaya menjaga hubungan walaupun sudah tidak lagi bersama.
“Tetapi jangan anggap perceraian adalah cadangan pertama dari saya. Namun jika itu adalah solusi terbaik, demi anak-anak, lebih baik berpisah dan tetap berkawan. Itu lebih memudahkan urusan,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia sudah menemui calon isteri selepas empat tahun hidup menduda, pelakon Layang Layang Perkahwinan itu menjawab;
“Setakat ini belum ada. Tak mencari pun. Saya seronok buat aktiviti harian. Ada kerja, dapat melancong, berkhemah dan macam-macam lagi. Saya pun tak ada letak syarat tertentu. Tak memilih.
“Tetapi saya perlu ambil kira perasaan anak, dia masuk kecil. Asalkan anak selesa dengan si dia, saya okay. Kalau letak banyak syarat, takut nanti tiada keserasian. Cerewet sangat pun tak boleh juga,” ujarnya.