PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mendoakan agar Abdul Hadi yang baru sahaja melalui prosedur rawatan dan kini sedang menjalani dialisis agar kembali sihat seperti sedia kala.
“Saya datang untuk menziarahi Ustaz Hadi Awang yang telah mendapatkan rawatan, tetapi dia baru ikut prosedur dan sekarang dialisis. Tapi tak sempat jumpa, jadi jumpa sahabat saya, Ziauddin Sardar.
“Kita mendoakan mereka sihat, syafakallah, pulih dan dapat menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui pemberita di IJN hari ini.
Terdahulu, Anwar tiba di pusat rawatan itu untuk menziarahi Abdul Hadi dan rakannya, Ziauddin.
Kali terakhir, Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan menghadapi masalah kesihatan pada Jun tahun lalu dan beliau dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan serta pemantauan doktor.
Abdul Hadi, 76, yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), pernah dimasukkan ke hospital, dipercayai akibat sesak nafas pada Februari tahun lalu.
Beliau dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan sesak nafas sebelum dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut.
Sahabat Anwar, Ziauddin, 72, yang juga penulis pemenang anugerah dan dianggap sebagai intelektual penting di United Kingdom pernah berkhidmat sebagai penasihat Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. – UTUSAN