PETALING JAYA: Dua lagi anggota polis ditahan dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses ketum pada 4 Januari lalu.
Penahanan itu menjadikan tangkapan keseluruhan anggota polis adalah seramai enam orang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dua anggota berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan di Brickfields dekat sini susulan penahanan empat anggota sebelum ini.
Katanya, kesemua mereka ditahan sepasukan Cawangan Risikan/Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang menjalankan serbuan di sebuah rumah di Jalan Puchong.
“Dalam serbuan 2.15 pagi itu, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 38 tahun yang juga anggota polis di dalam rumah.
“Pasukan merampas daun ketum anggaran berat 18 kilogram dan air ketum anggaran berat 13.5 liter dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM420,” katanya hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan memproses daun ketum, lima pasang pakaian seragam polis dan wang tunai RM1,200.
Jelasnya, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di Jalan Klang Lama selain merampas minuman mengandungi air ketum anggaran berat 10.5 liter.
Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 180 pengguna dadah.
“Kesemua suspek ditahan reman dua hari bermula 4 hingga 6 Januari lalu bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Anggota polis terbabit akan dikenakan tindakan tahan kerja,” katanya.
Amihizam berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenalpasti ahli sindiket dan sumber bekalan diperoleh.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan, empat anggota polis ditahan kerana disyaki memiliki air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Yew Lai di sini, Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.- UTUSAN