Kes peniaga jual makanan mahal tidak jejas kedatangan pelancong - Utusan Malaysia

Kes peniaga jual makanan mahal tidak jejas kedatangan pelancong

LOH Sze Yee (dua dari kiri) pada majlis menandatangani kerjasama di antara Tourism Perak dan Chuan Sin Sdn Bhd (Cactus) di Spritzer Ekopark Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kes sebuah premis makanan hasil laut di Pulau Pangkor yang didakwa mengenakan harga mahal sehingga tular dalam media sosial baru-baru ini tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke pulau peranginan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee yakin kes itu tidak menjejaskan kempen Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, walaupun kes itu terpencil, namun kerajaan negeri memandang serius bagi menjamin kesejahteraan pelancong ke negeri ini.

“Hanya seorang peniaga yang melakukan perkara itu dan kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan dengan menggambarkan seolah-olah semua peniaga di pulau itu terlibat.

“Hanya dia (peniaga) seorang sahaja bukan semua orang, saya percaya rakyat bijak membuat pernilaian dan perbandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara Tourism Perak dan Chuan Sin Sdn Bhd (Cactus) di Spritzer Ekopark Taiping di sini hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, kerajaan negeri meminta anggota dan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) sentiasa membuat pemantauan harga di semua premis yang menjadi tumpuan pelancong di pulau itu.

“Kita mahu semua pelancong di pusat peranginan itu merasa aman serta sejahtera dan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas para pelancong dengan mengenakan caj mahal melampau,” katanya.

Kelmarin, sebuah premis makanan hasil laut di Pulau Pangkor yang dikatakan mengenakan harga mahal melampau dan tular dalam media sosial, dikenakan tindakan dalam pemeriksaan mengejut dalam Ops Samar.

Operasi melibatkan pegawai dan anggota Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak. KPDN Cawangan Manjung, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Tindakan itu adalah reaksi maklum balas pihak KPDN Perak berhubung kiriman tular oleh seorang pengguna di aplikasi TikTok dan turut dikongsikan kandungan kiriman tersebut oleh pengguna lain di aplikasi Facebook.

Dalam kiriman tersebut, pengguna tersebut mendakwa dikenakan caj harga makanan laut siap masak yang mahal dan tidak setimpal dengan kualiti serta perkhidmatan yang diberikan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya