IPOH: Kerajaan negeri akan mengambil langkah agresif dalam usaha menangani kes demam denggi di negeri ini yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, kes denggi meningkat 176 peratus apabila mencatat 309 kes dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini, berbanding 112 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Kita akan mengambil langkah agresif bagi menangani kes ini kerana kes yang dicatatkan dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini sangat tinggi.
“Jika ada orang awam yang tidak memberi kerjasama atau menghalang petugas kesihatan menjalankan tugas, kita akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Denggi peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut Sivanesan, pihaknya tidak akan membantu mereka yang datang ke pejabatnya selepas mendapat kompaun daripada Jabatan Kesihatan berkaitan isu tersebut.
“Dalam kes ini, saya tidak boleh tolong, terus sahaja ke mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, proses semburan kabus atau fogging perlu dilakukan di luar dan dalam kediaman atau premis perniagaan.
Menurutnya, semburan asap di luar rumah sahaja tidak berkesan untuk menghalang pembiakan aedes.
“Oleh itu, penduduk perlu membenarkan petugas kesihatan melakukan pemeriksaaan dan fogging di dalam kediaman masing-masing,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan, kawasan yang berisiko pembiakan aedes termasuk kebun haram dan lot tanah terbiar.
Katanya, pertanian tidak menjadi masalah tetapi kebersihan persekitaran tidak dijaga apabila membiarkan banyak bekas menyebabkan air bertakung, sekaligus menjadi tempat pembiakan aedes.
“Barangan kitar semula seperti botol kosong yang dibiarkan terdedah kepada air hujan juga berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya. – UTUSAN