Kerjasama ASM, IPT Pantai Timur tingkat keupayaan inovasi

Kerjasama ASM, IPT Pantai Timur tingkat keupayaan inovasi negara

KETUA Pegawai Eksekutif ASM Hazami Habib (kanan) menerangkan sesuatu kepada Mazlan. Turut kelihatan Azzman (kiri)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akademi Sains Malaysia (ASM) mengalu-alukan penglibatan universiti awam dan swasta di Wilayah Pantai Timur untuk menyertai Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP). 

Kerjasama tersebut  bakal mendorong data mentah penyelidikan setiap penyelidik mampu diakses dengan lebih mudah sekali gus mampu mengurangkan pertindihan projek penyelidikan untuk meningkatkan keupayaan inovasi negara.

Presiden ASM, Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, menerusi MOSP, pihaknya ingin memastikan setiap individu mempunyai akses kepada data mentah penyelidikan negara yang menggunakan dana awam. 

“ASM menggesa agar setiap penyelidik untuk membangunkan penyelidikan berasaskan misi bagi memastikan setiap projek dijalankan memenuhi keperluan serta cabaran semasa selain mampu memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

MOSP yang boleh diakses melalui mosp.gov.my adalah platform perkongsian data mentah.

Penyelidikan yang merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Platform tersebut dibangunkan oleh ASM sejak 2019 dan telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof 16 Mei lalu.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, UMT sangat menyokong usaha MOSTI melalui MOSP untuk memperkasa penyelidikan dan inovasi bertepatan.

Katanya,  inisiatif tersebut sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi proses asimilasi dan pemindahan ilmu hasil penyelidikan translasional dan inovasi di universiti kepada masyarakat. 

“Usaha ini mampu memanfaat dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat sesuai dengan konsep merakyatkan hasil penyelidikan dari universiti demi kepentingan bersama,” katanya.

MOSP kini mempunyai lima universiti penyelidikan yang telah menyertai inisiatif sains terbuka berkenaan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra  Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Bagi agensi kerajaan pula melibatkan MAMPU, Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dan ASM. 

MOSP juga mempunyai lebih 1,700 data set dan telah mencapai 8,000 pelawat dalam dan luar negara yang menggunakan platform berkenaan. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya