KLANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaannya akan terus mencari kebenaran dan menyiasat sebarang kecurian dana yang berlaku dalam negara ini.
Menurutnya, semua siasatan dilakukan adalah memastikan kebajikan rakyat terjaga secara keseluruhannya.
“Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah tamil lagi senang. Tetapi mahu siasat orang kaya besar curi duit, you ingat senang ke? Tidak senang, tetapi kita mahu jaga ini negeri, jangan bagi orang curi harta rakyat, tolong rakyat. We will go after the crook, I don’t care,” katanya ketika berucap pada sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan, malam tadi.
Malah, Menteri Kewangan itu menegaskan masyarakat perlu menyokong usaha kerajaan membuat penyiasatan melibatkan orang kaya termasuk individu bergelar Tun bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku dalam kalangan mereka.
Tanpa menyebut mana-mana individu, Anwar menjelaskan, beliau berasa pelik apabila tindakan siasatan terhadap golongan berkenaan ditentang sesetengah pihak.
“Setahun berlalu dan kita baru adakan pemukiman jemaah menteri untuk tingkatkan usaha dari segi pelaksanaan. Tidak mudah. Hutang banyak, curi duit ini, curi, curi, curi. Pemimpin-pemimpin banyak kes dan bila kita hendak ambil tindakan hanya marah-marah.
“Ini Perdana Menteri, ini kasar sangat hendak ambil tindakan. Ini bagi saya aneh, sepatutnya you sokong, bukan senang tahu mahu siasat itu Tun, Tun,” tegasnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, susulan sitaan sebuah bangunan baru-baru ini.
Malah, SPRM juga sedang menyiasat anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mirzan berhubung dakwaan pengubahan wang haram.
Siasatan ke atas ahli perniagaan terkemuka itu adalah susulan pendedahan Pandora Papers atau Kertas Pandora. – UTUSAN