Kerajaan Perpaduan tidak mampu bertahan lama - Rosol - Utusan Malaysia

Kerajaan Perpaduan tidak mampu bertahan lama – Rosol

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mampu bertahan lama kerana rakyat semakin marah dan terhimpit dengan beban ekonomi semasa.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, situasi tersebut akan mendorong berlakunya pertukaran kerajaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, rakyat telah menyampaikan keluh kesah mereka terhadap wakil rakyat (Ahli Parlimen) yang berkemungkinan akan mempengaruhi sokongan mereka terhadap Perdana Menteri.

“Tarikhnya (pertukaran kerajaan) tak pasti tapi ia akan tetap berlaku kerana rakyat berada dalam keadaan terhimpit ketika ini.

“Kenaikan barangan yang semakin ketara tidak ada tanda pemulihan menyebabkan hidup rakyat semakin susah dan mereka mahukan kerajaan yang lebih cakna, prihatin dengan kehidupan rakyat akar umbi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan kaedah pertukaran kerajaan itu berlaku dan menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan ‘Langkah Dubai’ yang kini menjadi spekulasi hangat dalam arena politik negara.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen Terengganu yang dihubungi Utusan Malaysia pula enggan memberi sebarang komen berhubung ‘Langkah Dubai’.

Baru-baru ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengulangi pendirian kekal teguh memastikan Kerajaan Perpaduan kekal dan tidak berminat menyertai ‘Langkah Dubai’.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, GPS akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan isu tersebut.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan, isu ini tidak memberi kesan sebaliknya Kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya