KANGAR: Kerajaan negeri akan melakukan penelitian terlebih dahulu mengenai penggubalan Akta Omnibus yang membenarkan perkongsian data dan penyimpanan awan dalam kalangan agensi kerajaan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, buat masa ini, pihaknya belum melihat perkara itu secara terperinci membabitkan penggubalan akta berkenaan.
Beliau berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Saya tidak pasti Akta Omnibus ini bagaimana kerana saya harus melihat dahulu maklumatnya. Saya perlu mendapat satu maklumat jelas mengenai Akta Omnibus ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Besar bersama Penjawat Awam Negeri Perlis di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Selasa lalu, Perdana Menteri melancarkan sistem PADU yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada November lalu juga dilaporkan berkata, kerajaan akan membentangkan Akta Omnibus di Dewan Rakyat bagi membolehkan perkongsian data antara semua agensi kerajaan menerusi sistem PADU. – UTUSAN