ARAU: Kerajaan negeri dicadang supaya menubuhkan semula Yayasan Pendidikan negeri bagi membantu golongan pelajar khususnya mereka yang bakal melanjutkan pengajian.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, penubuhan semula yayasan berkenaan dapat membolehkan pemberian sumbangan buat golongan pelajar serta dapat disekalikan dengan bantuan Baitulmal.
Beliau berkata, kewujudan semula Yayasan Pendidikan negeri itu juga berperanan bagi menyelaraskan kadar jumlah pemberian sumbangan buat golongan sasar.
“Jika tak diselaraskan nanti ada pihak yang akan mendapat sumbangan lebih dan ada pula yang terkurang jadi disebabkan itulah perlunya kepada penubuhan Yayasan Pendidikan negeri ini.
“Sebelum ini, Yayasan Pendidikan negeri sememangnya wujud namun telah dimansuhkan oleh pentadbiran Menteri Besar terdahulu,” katanya selepas Majlis Sumbangan Dana Pendidikan Yayasan Fawwaz yang berlangsung di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 177 pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah menerima sumbangan wang tunai disampaikan oleh isteri Shahidan, Datin Seri Shamsiah Yasin.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya juga akan membawa cadangan berkenaan kepada Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli bagi membolehkan pelaksanaan tersebut dapat direalisasikan.
“Saya akan membawa cadangan ini dan berbincang lanjut bersama Menteri Besar berhubung penubuhan Yayasan Pendidikan negeri ini,” katanya.-UTUSAN