PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 1 Mac ini untuk keputusan rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta sebat 2 kali yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah serta Datuk S. M. Komathy menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
Terdahulu ketika berhujah, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, anak guamnya telah diprejudiskan apabila tidak diberikan peluang untuk berhadapan dengan mangsa yang juga bekas pembantu rumahnya warga Indonesia.
“Hakim Mahkamah Tinggi (Hakik Bicara) terkhilaf apabila mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa adalah tidak wajar dalam kes ini kerana daripada awal lagi identiti mangsa telah didedahkan dalam kertas pertuduhan.
“Tiada keperluan untuk menguatkuasakan Seksyen 265 kerana tiada bukti yang menunjukkan mangsa berada dalam bahaya kerana berada di bawah jagaan Kedutaan Indonesia selepas melarikan diri daripada rumah perayu (Choo Kiong).
“Anak guam saya telah diprejudiskan. Adalah menjadi hak seseorang tertuduh untuk melihat wajah mangsa tanpa sebarang halangan,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Abdul Aziz menyatakan walaupun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa namun mereka masih boleh menyoal balas mangsa.
“Walaupun pihak-pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya. Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa,”kata pendakwa raya itu.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman terhadap Paul Yong ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya, berkata mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian. – UTUSAN