Keputusan rayuan Isa Samad dijadual semula pada 6 Mac

Keputusan rayuan Isa Samad dijadual semula pada 6 Mac

MOHD. ISA ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan kes rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, dijadual semula oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac ini.

Peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd. Isa berkata, keputusan rayuan itu yang sepatutnya diumumkan pada 31 Januari ini telah dilapangkan oleh mahkamah dan ditukar kepada 6 Mac.

Ujar beliau, tarikh itu ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar (PKP) Mahkamah Rayuan, Huda Humaira Idris semasa pengurusan kes secara sidang video hari ini.

“Rayuan dijadual semula kerana salah seorang ahli panel hakim bercuti sakit pada tarikh 31 Januari,” kata Siti Sarah kepada pihak media hari ini.  Tarikh itu turut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Pada 14 Oktober 2023, panel itu menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan. Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah.

Dalam rayuan, bekas pemimpin UMNO itu diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan sebagai responden oleh Afzainizam. Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak. Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN