Kenapa layanan berbeza cuti umum penjawat Hindu di Sarawak?

Kenapa ada layanan berbeza cuti umum penjawat awam Hindu di Sarawak?

Penjawat awam Hindu di Sarawak tidak dapat cuti tanpa rekod untuk perayaan Thaipusam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang doktor berketurunan India yang bertugas di Sarawak mempersoalkan sikap dwistandard kerajaan dan layanan berbeza terhadap penjawat awam bagi menyambut perayaan Thaipusam pada Khamis ini.

Menurut pegawai perubatan berkenaan kepada Utusan Malaysia, tiada kemudahan cuti tanpa rekod diberikan kepada kumpulan penjawat awam beragama Hindu di negeri berkenaan, sebaliknya mereka hanya boleh mengambil cuti rehat.

Katanya, perkara ini amat ‘memalukan’ apabila negeri-negeri lain boleh menawarkan cuti Thaipusam tetapi Sarawak tidak berbuat demikian bagi membolehkan golongan minoriti ini menyambut perayaan.

“Thaipusam hanya sekali setahun tetapi kita tidak boleh mendapatkan satu pun cuti tanpa rekod? Mengapa kita didiskriminasi dalam soal pemberian cuti.

“Bagaimanakah anda (kerajaan) mengharapkan orang India datang ke sini (Sarawak) dan bersedia untuk meninggalkan keluarga di Semenanjung untuk berkhidmat sedangkan kerajaan tidak boleh memberikan ihsan untuk memberi kami cuti tanpa rekod hanya satu hari untuk Thaipusam?” katanya di sini semalam.

Dalam satu surat pekeliling yang dilihat Utusan Malaysia, kerajaan memutuskan supaya cuti rehat diberikan kepada pegawai-pegawai sektor awam yang menganut agama Hindu untuk merayakan Hari Thaipusam menggunakan kelayakan cuti rehat masing-masing.

Dengan keputusan ini pegawai-pegawai dalam sektor awam Malaysia yang beragama Hindu yang berkhidmat di negeri-negeri termasuk Wilayah Persekutuan atau berkhidmat di luar negara, yang mana Thaipusam bukan hari kelepasan am, mereka boleh diberikan cuti rehat, jika hendak merayakannya.

Sebelum ini, isu sama turut berlaku dalam pemberian cuti umum sempena perayaan Hari Deepavali tahun lalu kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan beragama Hindu yang berkhidmat di Sarawak apabila tiada cuti tanpa rekod diberikan kerana hari perayaan itu jatuh pada hari Ahad untuk hari berikutnya.

Susulan rungutan pegawai awam yang bertugas di Sarawak itu, kerajaan bersetuju memberi cuti tanpa rekod pada hari bekerja berikutnya melalui Pekeliling Perjawatan negeri Sarawak Bilangan 26 tahun 2023.

Pegawai perubatan itu berkata, layanan berbeza antara negeri itu adalah satu tindakan diskriminasi kepada penjawat awam dari semenanjung yang bersedia untuk bertugas di Sarawak, jauh daripada keluarga.

“Tidak ada gunanya merungut tentang kami tidak menerima jawatan di Sarawak sedangkan anda melayan kami begini.

“Jangan terkejut jika lebih ramai orang India menolak tawaran bekerja di Sarawak selepas ini. Adakah ini yang anda panggil bersatu padu selepas lebih 60 tahun merdeka? Bertahun-tahun menabur bakti di negeri orang tetapi bermulalah jasa kita di balas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN