Kenaikan tarif air bantu Perlis baiki prasarana, tingkat kualiti perkhidmatan - Utusan Malaysia

Kenaikan tarif air bantu Perlis baiki prasarana, tingkat kualiti perkhidmatan

MOHD. Shukri Ramli (kiri) pada majlis perasmian pameran seni visual sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kenaikan tarif air bakal membantu negeri ini meningkatkan perkhidmatan bekalan air dan membaiki prasarana sekali gus dapat mengurangkan peningkatan kadar air tak berhasil (NRW) di Perlis.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, peningkatan tarif air sehingga 22 sen bagi setiap meter padu terhadap pengguna domestik bermula 1 Februari itu juga dilihat masih pada kadar rendah yang tidak terlalu membebankan.

Justeru, beliau berharap rakyat di negeri ini dapat menerima kenaikan tersebut.

“Kenaikan tarif air ini sesuatu yang membantu negeri ini menambah sedikit pendapatan, dapat membaiki prasarana sekali gus meningkatkan kualiti bekalan air di Perlis. Saya rasa kenaikan tersebut bersesuaian dengan masa lah.

“Saya harap rakyat terima kenaikan tersebut demi kebaikan dalam memastikan prasarana air ini akan dapat dipertingkatkan untuk kemudahan rakyat itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pameran seni visual sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di sini, semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan membenarkan negeri-negeri Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan menaikkan tarif air sehingga 22 sen bagi setiap meter padu terhadap pengguna domestik bermula 1 Februari ini.

Ini merupakan kenaikan pertama membabitkan beberapa negeri sejak empat dekad khususnya Pahang yang masih mengekalkan tarif air sejak 42 tahun lalu, manakala Pulau Pinang pula kali terakhir berbuat demikian pada 31 tahun lalu.

Di Perlis pula, kadar tarif air tersebut tidak pernah disemak sejak tahun 1996.

Kelmarin, akhbar ini juga melaporkan, Perlis memerlukan kira-kira RM1.8 bilion bagi menyelesaikan isu perkhidmatan air antaranya bagi menggantikan 1,000 ki­lome­ter paip uzur berusia hampir 50 tahun serta
beberapa penambahbaikan lain.

Pada masa ini, Syarikat Air Perlis (SAP) telah berjaya menggantikan kira-kira 900 kilometer jaringan paip uzur yang menyalurkan air bersih kepada penduduk negeri ini.

Bagi menyelesaikan isu air tersebut secara keseluruhan dianggarkan memerlukan tempoh antara 10 ke 15 tahun.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan melihat semula cadangan menetapkan kadar yang lebih rendah kepada golongan yang memerlukan.

“Kita akan lihat kembali cadangan tersebut dan setakat ini masih belum buat sebarang keputusan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya