Kembara seni Francissca Peter - Utusan Malaysia

Kembara seni Francissca Peter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA yang menarik tentang temu ramah adalah menerusinya kita dapat menggeledah nostalgia dan nilai sentimental seorang artis terhadap sesuatu perkara. Sehingga kini, terukir senyuman pada wajah Datuk Francissca Peter, 62, setiap kali mengenang permulaan kerjayanya sebagai anak seni yang bermula sekitar 1979. 

Industri seni negara pada era 80-an meriah, berkuasa dan sangat berpengaruh, tidak hanya di negara sendiri, malah seluruh Asia. Bukan hanya Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang digelar Penghibur Nombor 1 Asia, malah  Francissca juga mengharumkan nama negara apabila merangkul Lagu Asia Terbaik di Festival Lagu Asia pada tahun 1987.

Berkongsi kepada Utusan Malaysia, artis kelahiran Ipoh, Perak itu menyifatkan peluang mengungguli Anugerah Juara Lagu pertama pada tahun 1986 sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka . Pencalonan lagu “Sekadar di Pinggiran” dan “Aku Kehilanganmu” bukan sahaja membuka pintu kejuaraan kepada penyanyi yang mesra disapa Fran ini, malah  tempat kedua dan Persembahan Terbaik pada penganjuran tersebut. 

“Sehingga kini saya berterima kasih kepada komposer hebat Manan Ngah serta dua penulis hebat, Lukhman S. untuk Sekadar di Pinggiran dan Datuk Habsah Hassan untuk Aku Kehilanganmu.

“Saya sentiasa bersyukur kerana itu merupakan permulaan dalam industri muzik yang istimewa bagi saya. Kejayaan itu memberi keyakinan yang tinggi dalam perjalanan saya selepas itu.

“Saya juga gembira dengan sokongan yang bermakna, positif dan hebat yang saya terima dari rakyat pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia. Muzik dan bahasa kurang dipolitikkan dan ramai yang bangga dengan muzik Malaysia yang menjadi identiti kita sendiri,” katanya. 

Bercerita tentang momen AJL pertama, dedah Fran, sebelum naik ke pentas untuk membuat persembahan, sahabatnya yang juga lagenda muzik, Sudirman sempat mencarinya di belakang pentas untuk memberi semangat. 

“Arwah tidak hanya rajin mengunjungi saya ketika membuat persembahan di hotel. Malah ketika AJL, beliau pergi ke belakang pentas untuk mengucapkan good luck sebelum saya membuat persembahan. Sungguh baik hati beliau.

“Allahyarham adalah seorang legenda hebat yang amat dihormati dan diingati dalam industri muzik Malaysia. Saya sangat berbangga kerana dapat berkongsi perjalanan seni bersamanya,” katanya.

Evolusi trend penyanyi bukan Melayu

Dunia muzik era 80-an menyaksikan kehadiran ramai  penyanyi bukan Melayu menyanyikan lagu Melayu . Malah, kemunculan mereka berjaya memberikan impak seperti yang dilakukan Francissca sendiri. 

Namun hari ini, bilangan penyanyi bukan Melayu dalam industri muzik arus perdana dilihat berkurangan. 

Saya percaya perkara ini berlaku disebabkan evolusi selera pendengar dan faktor-faktor lain seperti arus perdana, nilai komersial serta pembahagian muzik. 

“Masih belum terlambat untuk artis bukan Melayu generasi masa kini dan yang akan datang untuk mengikutinya serta tampil menyanyikan lebih banyak lagu berbahasa Melayu. 

“Tiada salahnya kita meraikan bahasa kebangsaan seperti yang dilakukan Datuk Andre Goh, Datuk David Arumugam dan Datuk Elaine Kang. 

“Hari ini kita ada artis sehebat Jaclyn Victor, Daniel Lee, Vince Chong, Santesh, namun kita memerlukan lebih ramai lagi artis bukan Melayu untuk meneruskan perjuangan yang kami lakukan dulu,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Fran kini sedang menyiapkan sebuah album untuk memenuhi permintaan pendengar muda. 

Beliau juga terbuka untuk bernyanyi dan berkolaborasi dengan penyanyi baharu asalkan mereka tahu cara menyampaikan emosi dalam nyanyian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya