KUALA LANGAT : Pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca kejadian kemalangan di tapak projek kuari di Bandar Saujana Utama, petang semalam yang mengorbankan satu nyawa.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, siasatan tersebut mungkin mengambil sedikit masa memandangkan kejadian terbabit baru berlaku semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 4 Januari, lebih kurang pukul 4.25 petang yang mana penyelia tapak projek itu mendapati dua orang pekerjanya telah jatuh dan tertimbus dalam tanah semasa membuat kerja di lokasi kejadian.
“Semasa kejadian salah seorang mangsa telah berjaya mengeluarkan diri daripada timbunan tanah dan segera dibawa ke Hospital Cyberjaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya pada hari ini.
Menurutnya lagi, seorang lagi mangsa yang tertimbus berjaya dikeluakan kira-kira pukul 6.45 petang, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Kata Ahmad Ridhwan, mangsa yang meninggal dunia itu telah dibawa ke Hospital Banting bagi menjalani proses bedah siasat.
“Kedua-dua mangsa adalah warga tempatan dan siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian terbabit.
“Pihak polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan ketika ini pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca kejadian.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ingin menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam menguruskan kejadian terbabit,” ujarnya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan berhubung kejadian tersebut, dengan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kes ini pukul 4.32 petang.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, sepasukan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dikerah bagi menjalankan operasi menyelamat berkenaan. –UTUSAN