KUALA SELANGOR: Keluarga kepada seorang murid perempuan menjadi mangsa gangguan seksual dekat sebuah sekolah berasrama penuh di Sabak Bernam kesal apabila mendakwa suspek yang melakukan perbuatan tersebut masih belum dituduh.
Siasatan kes tersebut didakwa berlarutan tanpa perkembangan sejak laporan polis dibuat pada 2022, namun tiada tanda-tanda suspek yang dipercayai seorang guru dan jurulatih pasukan hoki di sekolah terbabit.
Salah seorang abang kepada mangsa yang enggan identitinya didedahkan berkata dia dan ahli keluarga lain termasuk ibunya merasakan kes tersebut seolah-olah cuba didiamkan bagi menjaga nama baik sekolah berkenaan dan pentadbirnya ketika itu yang berstatus ‘Pengetua Cemerlang’.
Menurutnya, laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Kuala Selangor pada 2021, namun ditolak pegawai berkenaan yang mengatakan dia tidak mempunyai bukti bagi menuduh guru yang melakukan gangguan seksual terhadap satu-satunya adik perempuannya itu.
“Saya dan keluarga buntu selepas anggota polis berkenaan berkata demikian, kemudian saya rujuk kepada peguam untuk mendapatkan nasihat sebelum diarah membuat laporan polis sekali lagi di Balai Polis Dang Wangi pada Mac 2022.
“Selepas laporan polis tersebut dibuat, seorang pegawai penyiasat dari Balai Polis Sungai Air Tawar mengambil kes berkenaan, namun sehingga kini tiada perkembangan suspek akan dituduh walaupun sudah mempunyai bukti yang kukuh,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Dalam pada itu, ibu mangsa yang juga enggan identitinya diketahui umum memberitahu, sehingga kini anaknya terpaksa berdepan dengan perasaan trauma yang pastinya mengganggu persediaannya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Malah, menurutnya, akibat tindakan tersebut dia mengalami kemurungan dan didakwa pernah menyatakan hasrat untuk terjun bangunan seperti diberitahu oleh rakan-rakannya di asrama sekolah berkenaan.
“Anak saya ketika itu berada di tingkatan tiga dan menjadi kapten pasukan hoki di sekolah kononnya berprestasi tinggi. Dia kerap bertemu dengan jurulatihnya yang juga merupakan guru Bahasa Melayu.
“Kemudian, anak saya diarahkan mengambil gambar dengan aksi tidak sepatutnya kononya untuk tujuan kegunaan dalam sukan hoki, lebih pelik pelbagai aksi diarahkan guru terbabit. Kejadian sedemikian bukan sekali, tetapi jadi lebih tiga kali sehingga anak saya trauma,” tegasnya.
Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga mangsa, Faizal Rahman memberitahu, pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri, Pendidikan serta Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, namun hanya satu maklum balas diterima.
“Saya sudah pun memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi pada 16 November 2022 sebelum diarah diteruskan di Mahkamah Sesyen. Pihak kami akan membuat permohonan agar kes di pindahkan ke Mahkamah Tinggi semula memandangkan terdapat perkembangan terbaru yang di terima daripada Jabatan Peguam Negara.”
“Lebih mengejutkan, suspek pernah mengeluarkan kenyataan kepada pengetua sekolah yang dia mengaku melakukan perbuatan tersebut dan ia dipercayai berlaku sejak 2016.
“Siasatan yang saya lakukan sendiri mendapati hampir 40 orang termasuk 12 rakan mangsa dalam pasukan hoki itu mengaku pernah menerima nasib sama sepertinya. Jadi, mengapa siasatan polis masih tiada perkembangan sedangkan bukti gambar dan pengakuan sudah ada,” jelasnya.
Katanya lagi, saman sivil kes berkenaan berada pada peringkat akhir pengurusan kes pada 31 Januari ini dan akan memohon untuk membawanya ke kembali ke Mahkamah Tinggi.
“Selain itu, saya juga akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagi mengadu tindakan pegawai penyiasat yang masih belum menyelesaikan siasatan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Agus Salim bin Mohd Alias ketika dihubungi memaklumkan, siasatan terhadap kes tersebut sudah lengkap dan sudah pun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Laporan siasatan sudah lengkap dan dirujuk kepada TPR, namun belum ada arahan pertuduhan dibuat dan TPR meminta polis mengambil beberapa tindakan sebelum merujuk semula kepada mereka,” katanya. – UTUSAN