ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah bercadang untuk memperkenalkan sewaan ruang udara bagi pemasangan papan iklan atau billboard seperti yang dilakukan beberapa negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, cadangan tersebut antara inisiatif bagi mengutip hasil sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Ada banyak lagi inisiatif akan diambil antaranya kita belum kuat kuasa sewaan ruang udara. Untuk pemasangan billboard misalnya, negeri lain telah mengenakan caj itu selain yuran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi Kedah masih belum kuat kuasa perkara itu.
“Hasil daripada jeti serta grid kuasa di hutan juga belum dikutip, malah kita bakal menyediakan kemudahan untuk fiber optik yang turut boleh mendatangkan hasil.
“Kebanyakan hasil yang sepatutnya diperolehi melalui penguatkuasaan undang-undang tapi belum dilaksanakan selain hasil-hasil baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri di Dataran Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, sasaran hasil RM1 bilion itu diyakini mampu dicapai meskipun anggaran hasil negeri itu bagi tahun depan seperti dinyatakannya dalam pembentangan Belanjawan Kedah 2024 hanyalah sebanyak RM748 juta.
Katanya, kerajaan negeri komited untuk memenuhi setiap keperluan rakyat namun hasrat tersebut sukar direalisasikan sepenuhnya memandangkan kutipan hasil negeri agak terhad.
Mengulas lanjut katanya, antara punca pendapatan paling tinggi yang mampu mencecah lebih RM300 juta adalah penguatkuasaan undang-undang terhadap pelanggaran syarat tanah dalam pembinaan bangunan.
Sebagai contoh katanya, terdapat bangunan atau struktur dibina 20 atau 30 tahun lalu yang melanggar peraturan termasuk dibina melebihi pelan asal hingga mewujudkan tanah tidak berhasil (non revenue land) buat kerajaan.
“Dulu undang-undang ini tidak dikuatkuasakan tetapi apabila kita nak kuatkuasakan sekarang tak kan kita nak robohkan pula Pekan Alor Setar ini. Maka mereka perlu bayar kadar sepatutnya untuk binaan struktur melebihi pelan ditetapkan.
“Semua ini ada dalam peruntukan undang-undang, bukan kita main langgar saja. Kita akan laksanakan peringkat demi peringkat dan bukan di Alor Setar saja, malah banyak bandar lain lagi,” katanya. –UTUSAN