Kebun sayur diteroka secara haram sejak tahun lalu - Utusan Malaysia

Kebun sayur diteroka secara haram sejak tahun lalu

SYED Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman menunjukkan gambar lokasi tanah runtuh dalam sidang akhbar di Blue Valley di Cameron Highlands hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Kawasan kebun sayur yang berlaku runtuhan tanah di Kampung Batu 59, Kampung Raja di sini semalam, dikenal pasti beroperasi secara haram sejak setahun lalu.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman berkata, penerokaan itu dikesan berlaku di kawasan Hutan Simpan Sungai Wi-D membabitkan keluasan 4.31 hektar.

Katanya, tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas pengusaha kebun sayur berusia 33 tahun itu pada April tahun lalu termasuk sitaan dan denda yang dijalankan di bawah Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Semakan mendapati kawasan kebun sayur tersebut terletak di kawasan hutan simpan di mana penerokaan berkenaan dilakukan tanpa permit sejak setahun lalu.

“Malah, pengusaha kebun sayur itu juga pernah ditangkap sebelum ini pada April lalu kerana menceroboh lokasi sama,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.

Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan semakan, lelaki warga tempatan itu pernah mengemukakan permohonan permit penggunaan tanah bagi tujuan pertanian kepada Jabatan Perhutanan.

Bagaimanapun katanya, permohonan itu ditolak selepas pemeriksaan mendapati lokasi tersebut berisiko tinggi ekoran keadaan cerunnya yang melebihi 35 darjah.

“Kawasan itu tidak sesuai kerana keadaan cerunnya, sebab itu kita tolak permohonan pengusaha terbabit,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kejadian runtuhan tanah yang menimbus dua rumah didiami lima pekerja warga asing itu mendapat perhatian dan keprihatinan tinggi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius untuk usaha mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Kejadian tanah runtuh di kawasan kebun sayur itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 2.10 pagi, membabitkan dua buah rumah pekerja warga Myanmar yang dihuni empat lelaki dan seorang wanita.

Sehingga kini, tiga mayat lelaki telah dijumpai iaitu Law Ha Phey, 36, dan Ki Shing Om, 48, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

Operasi kini sedang dijalankan bagi menyelamat baki dua lagi mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya