Kawat jayakan Program Ziarah Tautan Kasih bantu pengamal media - Utusan Malaysia

Kawat jayakan Program Ziarah Tautan Kasih bantu pengamal media

MOHD. Iskandar Jaafar (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nurul Fatihah Sulaini (dua, kanan) sambil diperhatikan Ahmad Syafri Husnaini (dua, kiri) di Besut, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) mengenal pasti lebih 25 pengamal media daripada pelbagai agensi di negeri ini untuk diberi bantuan melalui Program Ziarah Tautan Kasih pada tahun ini.

Presiden Kawat, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata, program itu turut melibatkan bekas pengamal media yang telah bersara dan diuji masalah kesihatan, ibu tunggal dan ahli Kawat yang menghidap pelbagai penyakit.

Menurutnya, Kawat bekerjasama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK).Negeri serta beberapa syarikat swasta untuk turut menyumbang kepada pengamal media yang telah dikenal pasti melalui program tersebut.

“Hari ini, kita mengunjungi empat pengamal media di tiga daerah iaitu Nurul Fatihah Sulaini dan Mohamad Ishak di Besut, Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli di Setiu serta Yusof Mohd. Ali di Kuala Terengganu.

“Ziarah Tautan Kasih di Besut turut disertai oleh Setiausaha Biro Penerangan UMNO Terengganu, Mohd. Iskandar Jaafar yang turut menyampaikan sumbangan kepada Nurul Fatihah dan Mohamad Ishak.

“Kawat juga bekerjasama dengan Pasaraya XIRI yang bermurah hati menyumbangkan cenderahati dalam kunjungan ini sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya.

Sementara itu, Nurul Fatihah berkata, beliau terharu dengan keprihatinan Kawat yang datang berkunjung ke rumahnya untuk bertanyakan perkembangan rawatan kemoterapi yang sedang dilaluinya ketika ini.

“Saya didiagnosis menghidap kanser payudara tahap dua pada November lalu setelah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

“Tak tergambar kebimbangan yang saya rasai kerana ini adalah penyakit yang paling digeruni golongan wanita namun dengan adanya sistem sokongan yang kuat dari pesakit-pesakit kanser yang lain serta Kawat yang sentiasa mengambil berat, saya sentiasa positif untuk menghadapi ujian ini,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya