Kaum India buktikan kesetiaan melalui pembangunan negara 

Kaum India buktikan kesetiaan melalui pembangunan negara 

Kesetiaan masyarakat India di Malaysia tidak wajar dipersoal kerana ia telah dibuktikan menerusi pelbagai aspek dalam membangunkan negara maju dan harmoni sejak 66 tahun yang lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesetiaan masyarakat India di Malaysia tidak wajar dipersoal oleh kerana ia telah dibuktikan menerusi pelbagai aspek dalam membangunkan negara maju dan harmoni sejak 66 tahun yang lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, masyarakat India di Malaysia telah membuktikan kesetiaan mereka melalui pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam. 

Katanya, sebagaimana etnik-etnik lain, bangsa itu juga adalah penyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia.

“Buat masa kini, elakkan perkara yang boleh mencetuskan ketidakharmonian di antara setiap etnik kerana negara sedang menghadapi krisis ekonomi. 

“Jadi kita sebagai masyarakat berbilang kaum perlu bersatu demi memperkukuhkan persefahaman dan keharmonian di kalangan setiap komuniti untuk membentuk sebuah negara yang maju dan adil,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih terikat dengan negara asal mereka ketika sesi temubual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan di Facebook berkata, semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik perlu mengelak mengeluarkan sebarang kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum sehingga menimbulkan kebencian.

“Dalam menyatupadukan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya, pemimpin terdahulu telah mendukung wadah integrasi nasional berbanding asimilasi.

“Kini sudah pun lebih 60 tahun merdeka, rakyat masih mengekalkan nilai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai resam hidup,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, seseorang itu tidak seharusnya dikenali sebagai Melayu untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Kita mesti faham, mereka yang lahir selepas kemerdekaan diterima sebagai warganegara Malaysia, tidak kira apa bangsa ataupun keturunannya.

“Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengiktirafnya sedemikian. Semua rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama rata secara umumnya dan dijamin oleh perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya.

Jelasnya, tindakan untuk mempersoalkan sikap taat setia mana-mana kaum yang bukan Melayu terhadap negara ini adalah tidak sesuai kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum dan menjejaskan kestabilan negara.

“Kaum India turut menyumbang kepada negara ini sejak merdeka menerusi MIC khasnya membantu mengukuhkan kerajaan BN. Cuma sejak akhir-akhir ini pergolakan politik negara telah menyaksikan kaum India seperti dipinggirkan,” katanya.

Selain itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, mendakwa kaum India tidak setia kepada negara adalah satu dakwaan yang dangkal.

Jelas Salawati, kesetiaan adalah satu perkara yang subjektif untuk bekas Perdana Menteri tersebut menyatakan perkara itu tanpa sebarang alasan yang kukuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya