KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampasi 12.09 juta batang rokok dan 6,365 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai cukai sebanyak RM9.08 juta dalam tiga operasi berasingan sekitar Pelabuhan Klang, di sini dan Batu Caves, Gombak.
Penolong Ketua Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, kedua-dua barangan yang dirampas itu dibawa masuk dari China untuk pasaran di negara ini.
Menurutnya, sebanyak 12 juta rokok dikesan cuba mengelak cukai ketika dibawa masuk menggunakan dua buah kontena yang diisytihar sebagai tanglung, baju, kotak dan perabot di Pelabuhan Utara pada 14 dan 29 Disember lalu.
“Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) membuat penahanan ke atas kontena bersaiz 40 kaki dan 20 kaki. Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak sembilan juta dan tiga juta batang rokok masing-masing disimpan dalam kontena berkenaan.
“Kemudian pada 8 Januari lalu, JKDM turut membuat pemeriksaan dan serbuan ke atas sebuah kenderaan dan sebuah rumah di Batu Caves sebelum merampas 90,400 batang rokok serta menahan seorang wanita tempatan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, kesemua rokok dirampas itu bernilai RM1.3 juta dan JKDM sedang menyiasat maklumat lanjut terhadap individu lain yang terlibat sebelum tangkapan dibuat.
Sementara bagi rampasan minuman keras pula, Norlela memberitahu bahan tersebut yang bernilai keseluruhan RM196,000 cuba dibawa masuk ke negara ini menggunakan empat buah kontena bersaiz 40 kaki pada 20 Disember tahun lalu di Pelabuhan Utara.
“Kesemua kontena tersebut diimbas menggunakan mesin pengimbas kontena dan hasilnya menunjukkan imej yang meragukan dan tidak konsisten dengan deskripsi dagangan yang diikrar dalam Borang Kastam 1 (import).
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut membawa barang dagangan bercampur dan JKDM menemukan sejumlah minuman keras yang disembunyikan di sebalik barangan tersebut dan jumlah cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM820,000,” jelasnya.
Justeru, kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967 yang mana sabit kesalahan individu terlibat boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mengikut mana lebih tinggi dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya lagi, orang ramai diseru membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM berdekatan. – UTUSAN
NORLELA Ismail rokok dan minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar dekat Pejabat JKDM Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor, hari ini.