Kastam Perak patahkan cubaan seludup arak bernilai lebih setengah juta - Utusan Malaysia

Kastam Perak patahkan cubaan seludup arak bernilai lebih setengah juta

ANTARA minuman keras yang dirampas JKDM Perak dalam serbuan di ICIC Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, Selangor Khamis lalu. - UTUSAN/IHSAN JKDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih setengah juta dalam serbuan di ICIC Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, Selangor Khamis lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui 2,880 liter minuman keras dengan anggaran nilai cukai RM515,196.

“Minuman keras itu disyaki barang tidak berkastam dan disimpan di dalam pelabuhan berkenaan.

“Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau menyeru orang ramai agar memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Beliau berkata, JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

“Kita dapati terdapat lambakan produk-produk terutama rokok dan minuman keras lolos masuk ke dalam negara dan dijual secara berleluasa terutama dalam talian.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan ini selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam aktiviti tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya