Kampung Manis bakal berubah 'wajah'

Kampung Manis bakal berubah ‘wajah’

Kampung manis
ANTHONY Loke (tiga dari kanan) dan Chow Kon Yeow (tengah) ketika menyaksikan majlis pemeteraian MoU antara RAC dan LPNPP di Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Kawasan setinggan yang terletak di Kampung Manis, Perai di sini dijangka berubah ‘wajah’ menjadi sebuah kawasan baharu yang lebih moden dan membangun serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pusat-pusat komersial tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, impian itu mampu direalisasikan susulan pemeteraian kerjasama atau memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) selaku pemilik tanah di situ dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

Katanya, potensi Kampung Manis telah diketengahkan dalam Pameran Hartanah RAC 2023 tahun lepas dan hasil daripada pameran tersebut, sebanyak lapan tapak tanah kereta api telah dipersetujui untuk dibangunkan secara Request for Proposal (RPF) dengan dua daripada kawasan itu terletak di negeri ini iaitu di Kampung Manis dan Bukit Tengah.

Beliau berkata, tiga daripada bidang tanah di Kampung Manis iaitu sebahagian daripada Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 yang melibatkan kawasan seluas 14.86 hektar serta sebahagian lagi kawasan di situ setakat ini belum dibangunkan dan lot tanah tersebut telah digazetkan untuk tujuan pembangunan industri dan pengangkutan.

“Meskipun mod pengangkutan di Kampung Manis ini tidak dihubungkan terus dengan jajaran kereta api, namun pembangunan kawasan ini boleh menggalakkan permintaan terhadap pengangkutan awam dan mendorong jaringan perantaraan yang lebih baik bagi menghubungkan stesen keretapi terdekat iaitu Stesen Butterworth yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari situ.

“Dengan adanya akses pengangkutan awam yang baik kelak dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Saya yakin projek ini mampu memberi faedah yang besar kepada penduduk setempat selain dapat meningkatkan tahap sosioekonomi mereka selepas ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir menyaksikan majlis pemeteraian MoU itu yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Seberang Jaya, dekat sini hari ini.

Difahamkan, melalui MoU ini, LPNPP sebagai agensi kerajaan negeri yang berperanan dalam hal ehwal perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan membantu RAC dalam penyusunan semula kawasan setinggan di Kampung Manis bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada pembangunan.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, pembangunan secara menyeluruh diperlukan di kawasan terbabit kerana merupakan sebuah lokasi kediaman tidak terancang serta tidak mempunyai sistem perparitan bersistematik yang menjurus kepada masalah banjir.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan keseluruhan bagi kedua-dua projek RAC dan LPNPP di kawasan tersebut akan dapat menukar wajah penempatan sedia ada kepada pembangunan perumahan yang lebih teratur dan efisien demi kesejahteraan masyarakat setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya