Kami tidak akan minta maaf - Suria FM - Utusan Malaysia

Kami tidak akan minta maaf – Suria FM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Ahli Lembaga Pengarah Star Media Group dan Pengerusi Star Media Radio Group, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse, menyifatkan tuntutan permohonan maaf daripada Tyzo berhubung konflik penamatan kontraknya bukan satu keperluan.

Malah, katanya, pihak Suria FM juga tidak akan melakukan perkara yang serupa terhadap Tyzo selain menyifatkan konflik yang berlaku sudah terlalu sukar untuk diperbaiki.

“Tiada kenyataan saya maafkan awak atau awak maafkan saya. Ini sudah sampai satu tahap yang susah nak diperbaiki sebab keadaan sudah jadi macam ini.

“Kami juga tidak menunggu sebarang permohonan maaf dari Tyzo. Sekiranya kami lihat keadaan ini menjejaskan Suria FM, kami akan ambil tindakan sewajarnya.

“Kami tidak akan ambil tindakan undang-undang selagi tidak wujud sebarang kenyataan mencemarkan reputasi Suria FM,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada sidang media yang diadakan di Menara Star, di sini, hari ini.

Selain itu, kata Aminuddin, beliau juga sedar bahawa kontroversi yang berlaku ini mampu menjejaskan reputasi baik Suria FM namun mengakui sudah bersedia berdepan dengan risiko.

“Pihak Suria peka dengan keadaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekira berlaku penurunan.

“Mungkin selepas ini Suria menjunam, itu adalah risiko yang kami kena ambil sebagai satu bentuk bisnes. Kami ada mengikuti bagaimana menghitung pendengar Suria.

“Kami pantau dan memang sentiasa lakukannya setiap minggu. Jika betul jumlah pendengar menurun, kami akan ambil tindakan sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin turut mengulas kenaikan gaji yang diminta oleh Tyzo dan menegaskan ia sudah dipersetujui ketika kontrak ditandatangani.

“Soal gaji adalah pertimbangan yang sudah diambil kira. Selalunya sama ada kami sambung kontrak berasaskan gaji.

“Apa yang ditandangani adalah gaji yang sudah dipersetujui. Jika tak setuju, tak tandatangan kontrak itu,” katanya.

Dalam pada itu, pada majlis yang sama, Suria FM juga membuat pengumuman barisan penyampai baharu yang akan menerajui program-program yang disediakan.

Penyampai baharu yang diumumkan adalah Datuk Fizz Fairuz, Chiwan Cilok dan Kai Hassan dan ia disifatkan sebagai langkah strategik yang diyakini mampu memberikan sentuhan khas agar Suria FM terus relevan.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid berkata, kemasukan penyampai baru di Suria FM ini adalah salah satu langkah Suria seiring dengan keperluan semasa untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai sebelum menjelang ‘Radio Survey’ yang berlangsung bermula 18 Februari hingga 30 Mac ini.

“Datuk Fizz Fairuz bakal ke udara di segmen Morning Moring Suria bersama Ajak dan Suraya pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi manakala Kai Hassan, bakal ke udara dan mengambil alih segmen Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 sepanjang tempoh Suraya bersalin bagi memastikan kelangsungan kualiti kandungan bagi kedua-dua segmen ini.

“Chiwan Cilok akan bergandingan bersama Rara menemani petang pendengar menerusi segmen Suria Petang pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 3 petang sehingga 7 petang.

“Setiap penyampai dipilih melalui proses pemilihan yang teliti, menekankan kemahiran profesional dan pengalaman luas selain mempunyai bakat serta minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya