Kalau bukan kita, siapa lagi? - Erma Fatima terus berjuang demi Palestin - Utusan Malaysia

Kalau bukan kita, siapa lagi? – Erma Fatima terus berjuang demi Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGAT-hangat tahi ayam. Itu peribahasa yang tepat menggambarkan sikap sejumlah besar masyarakat kita yang semakin lama hilang rasa prihatin terhadap nasib rakyat Palestin.

Terang-terangan dan tanpa rasa segan malu sebilangan besar orang kita menyokong produk atau jenama yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi Israel, malah pembunuhan rakyat Palestin.

Ini bukan cakap-cakap kosong, ia terbukti apabila semakin ramai orang Melayu Islam yang kembali menyokong produk dan jenama berkaitan Israel tanpa rasa sensitif. Entah mana hilangnya semangat from river to the sea, Palestin will be free yang dilaungkan sebelum ini?

Ada benarnya kata pelakon, pengarah dan penerbit, Erma Fatima, dalam kalangan masyarakat Melayu Islam kita, ada antaranya yang tentangan mereka sifatnya bermusim, sementara dan panasnya sekejap cuma.

Disebabkan itu, Erma, terpanggil untuk tetapkan jihad, terus mengajak masyarakat dan panaskan kembali semangat mereka yang masih ada sekelumit rasa prihatin untuk terus menolak keganasan zionis, dan sama-sama membantu rakyat Palestin yang dalam kesusahan.

“Kita tak mampu paksa orang untuk memunculkan rasa prihatin kepada nasib rakyat Palestin dalam diri mereka. Dan kita tak boleh halang mana-mana individu yang terus menyokong Israel dengan membeli produk atau jenama yang menyumbang kepada keganasan zionis di Palestin.

“Itu sebenarnya anugerah yang Allah berikan. Hanya Dia yang berkuasa mencampakkan rasa prihatin dalam diri hambanya. Jadi kita yang masih ada kesedaran dan rasa prihatin adalah orang yang terpilih. Sanggup boikot dan tahan nafsu, tolak produk atau jenama berkaitan Israel.

“Saya dan pihak-pihak terlibat, hanya mampu tarik minat orang untuk terus membantu rakyat Palestin. Kita tak mampu angkat senjata dan pergi berperang. Tapi sekurang-kurangnya ada sesuatu yang kita lakukan untuk mereka yang mengharapkan bantuan dan pertolongan kita. 

“Kalau bukan kita, siapa lagi nak bantu? Sedangkan ramai yang bukan Islam bersungguh-sungguh menolak kekejaman Israel dan memboikot produk berkaitan zionis. Kenapa tidak kita?” katanya.

Erma adalah antara selebriti tempatan yang sedari dulu kedepan dalam menggerakkan program untuk menyebar kesedaran dan mengumpul sumbangan demi penduduk Palestin.

Kata Erma, sekurang-kurangnya tiga program untuk Palestin yang antaranya adalah Panggilan Intifada, Doa Untuk Palestin telah dianjurkan Disember tahun lepas untuk membangkitkan semangat dan keprihatinan masyarakat negara ini terhadap isu Palestin.

Ujarnya, beliau tidak berhenti, malah akan terus menggerakkan pelbagai usaha demi menegakkan keadilan dan mempertahankan nasib saudara Islam di bumi para Syuhada.

“Kita lega apabila gencatan senjata dilakukan sebelum ini. Tapi, dalam masa yang sama kita risau kerana tindakan itu hanya wayang yang direka Israel. Hakikatnya, rakyat Palestin masih berada dalam kesengsaraan. 

“Dan lebih merisaukan apabila semangat dan kesedaran orang kita terhadap isu Palestin semakin menurun dan dilupakan lebih-lebih lagi selepas ‘wayang’ gencatan senjata sedangkan keadaan di sana memburuk.

“Jadi kami bertekad nak naikkan semula semangat, dan sebar luaskan serta memberi kesedaran tentang realiti yang menghimpit bumi Palestin ketika ini,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya