KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi menafikan dakwaan dia sudah mengikat tali pertunangan dengan teman wanita, Rania selepas satu video tular pada Oktober tahun lalu.
Jelas Sufian, video yang tular tersebut adalah rakaman ketika majlis merisik yang diadakan secara kecil-kecilan dan tertutup dengan dihadiri oleh kedua-dua belah keluarga.
Tambahnya lagi, dia dan teman wanitanya belum merancang untuk mengadakan majlis pertunangan apatah lagi dia bakal mendirikan rumah tangga tahun ini.
“Tak sangka pun video itu akan tular. Sebenarnya itu adalah majlis merisik. Hanya dihadiri oleh keluarga pun. Bukan majlis besar-besaran, orang kata saling mengenal kedua-dua belah keluarga.
“Tetapi itu bukan perkara yang tak baik pun. Kalau ikut perancangan, memang tahun ini saya bercadang untuk bernikah. Perancangan bertunang itu juga ada, tetapi belum dibincangkan secara serius,” ujarnya.
Penyanyi Di Matamu berkata demikian ketika ditemui media pada Sidang Media Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sufian berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mengadakan majlis pertunangan jika itu adalah permintaan teman wanita dan keluarga.
“Kami juga mahu hubungan ini mengikut adat. Perkenalan ini bukan sekadar kawan biasa. Keluarga kedua belah pihak juga sokong apa yang kami rancang.
“Bertunang itu sebenarnya bukan satu keperluan, tapi jika ada perancangan dan kehendak serta ikut adat kami akan buat nanti,” katanya.