Kafe TeaKadai edar air mineral percuma ketika gangguan air minggu depan - Utusan Malaysia

Kafe TeaKadai edar air mineral percuma ketika gangguan air minggu depan

MOHAMED RIZWAN Abdul Ghafoor Khan (dua dari kiri) menyerahkan air mineral kepada wakil Sekolah Kebangsaan Wellesley di George Town, Pulau Pinang sebagai persediaan berdepan gangguan bekalan air berjadual minggu depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pengusaha kafe TeaKadai di sini mengambil insiatif mengedarkan 2,000 botol air mineral kepada penduduk di sekitar negeri ini yang akan berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula minggu depan.

Pengusaha kafe berkenaan, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, edaran botol air mineral 1.5 liter itu akan diberikan kepada orang ramai setiap hari di depan kafe TeaKadai yang terletak di Lebuh Queen di sini, bermula pukul 3 petang, pada 8 hingga 10 Januari depan.

”Kafe kami mempunyai tabung komuniti khas yang merupakan hasil ‘tip’ daripada pelanggan dan kami juga masukkan satu peratus keuntungan jualan kafe ke dalam tabung tersebut.

“Wang tabung ini akan kami gunakan untuk membeli barang-barang keperluan yang akan diedarkan kembali kepada komuniti.

“Pada bulan ini kami akan mengedarkan air mineral percuma kepada orang ramai yang akan menghadapi masalah gangguan air,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.

Menurut Mohamed Rizwan, pihaknya akan menyediakan sebanyak 400 botol air mineral 1.5 liter setiap hari untuk diagihkan kepada pelanggan orang ramai percuma sepanjang tempoh gangguan air terbabit.

“Setidak-tidaknya orang ramai tidak lagi risau dengan keperluan untuk mendapatkan bekalan minuman bersih semasa gangguan air berlaku,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga akan membekalkan botol air mineral kepada sebuah sekolah di pusat bandar iaitu Sekolah Kebangsaan Wellesley bagi memudahkan murid-murid mendapatkan bekalan air minuman bersih semasa gangguan air berlaku.

”Kami akan mengedarkan kira-kira 890 botol air mineral 1.5 liter kepada pelajar sekolah setiap pagi bagi memudahkan mereka dan ini juga adalah satu perkhidmatan yang kami berikan percuma kepada murid-murid sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, TeaKadai akan beroperasi seperti biasa semasa tempoh gangguan bekalan air belaku dan mereka akan menggunakan pinggan makanan serta minuman berasaskan kertas (paper plate) ketika tempoh itu.

”Kami juga akan menggunakan susu sebagai bahan asas untuk membancuh minuman sepanjang gangguan air berlaku, jadi pelanggan tidak perlu risau dengan penggunaan air ketika itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya