Kadar baharu; tarif air Pulau Pinang masih terendah  - Utusan Malaysia

Kadar baharu; tarif air Pulau Pinang masih terendah 

CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) dalam sidang akhbar mengenai kadar tarif air baharu di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kadar tarif air di Pulau Pinang masih merupakan yang terendah di negara ini walaupun berlaku kenaikan tarif selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan kadar tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak 2019 hingga 2023, tanggungan subsidi PBAPP dianggarkan berjumlah RM503 juta sebagai tampungan kepada kos operasi dan keperluan menaik taraf infrastruktur sebagai jaminan bekalan air kepada 593,255 pengguna air domestik.

“Secara tidak langsung ini menunjukkan kadar tarif air di Pulau Pinang adalah lebih rendah daripada kos operasi PBAPP dan pengguna membayar harga yang rendah daripada kos sebenar.

”Dengan pelarasan kadar tarif baharu, PBAPP dijangka memperoleh hasil berjumlah RM86 juta setahun, namun PBAPP masih lagi perlu menanggung subsidi yang dianggarkan RM78 juta bagi tempoh sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan.

SPAN mengumumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu akan berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Menurut Kon Yeow, sebelum ini Pulau Pinang telah beberapa kali menangguhkan pelarasan tarif air dan impaknya telah menyebabkan penangguhan pelaksanaan projek-projek infrastruktur baharu.

Dalam pada itu, Zairil berkata, jalur terendah bil air di Pulau Pinang tidak dikaji semula sejak 1993 iaitu 31 tahun lalu.

”Tarif baharu ini akan berkuat kuasa pada 1 Februari depan dan menerusi tarif baharu ini, 51 peratus daripada pengguna air di Pulau Pinang akan membayar caj minimum tarif  berjumlah RM6.20/ bulan (termasuk caj elektrik), berbanding RM2.50/ bulan (tarif lama),” katanya.

Menurut Zairil, menerusi tarif baharu itu juga, sebanyak 77 peratus daripada pengguna air di Pulau Pinang akan membayar tarif kurang daripada RM10.85/bulan.

”Peningkatan pendapatan daripada pelaksanaan kadar perkhidmatan bekalan air akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air, namun ia masih tidak dapat menampung kos operasi dan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Zairil berkata, ekoran pelarasan tarif yang dilaksanakan itu, PBAPP turut melaksanakan program rebat bersasar khas kepada golongan tertentu iaitu Rebat Mesra Keluarga dan Rebat Mutiara yang mana pengguna perlu memohon kepada PBAPP.

“Rebat Mesra Keluarga yang berjumlah RM10 sebulan khusus untuk golongan B40 dengan pendapatan isi rumah RM2,250 sebulan dan ke bawah serta bilangan isi rumah lapan orang atau lebih.

“Rebat Mutiara juga berjumlah RM10 sebulan untuk penerima skim e-Kasih, pendapatan isi rumah RM1,036 sebulan dan ke bawah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN