YANGON: Junta Myanmar mengumumkan pengampunan kepada lebih 9,000 banduan di negara itu, sebahagian daripada usaha pembebasan tahunan sebagai menandakan Hari Kemerdekaan negara itu yang disambut hari ini.
Seramai 114 banduan asing adalah antara yang diberikan pengampunan dan akan dihantar pulang atas hubungan dua hala dan alasan kemanusiaan.
Bagaimanapun, tidak ada petunjuk bahawa tahanan politik adalah antara mereka yang akan dibebaskan.
Acara tradisional tersebut dilakukan pada waktu junta tentera yang mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada 2021 berdepan tentangan yang semakin meningkat daripada kumpulan bersekutu di utara negara itu.
Menurut penganalisis, gabungan kumpulan bersenjata etnik memberitahu pihaknya menawan kedudukan tentera dan hab sempadan yang penting untuk perdagangan dengan China, sekali gus menimbulkan ancaman serius kepada junta.
Hari Kemerdekaan di Myanmar sebelum ini dijalankan dengan perarakan di ibu negara Naypyidaw, diikuti dengan ucapan Ketua Junta, Min Aung Hlaing.
Tetapi dikhabarkan ketua junta itu tidak hadir pada tahun ini selain meminta pemimpin bawahan untuk membaca teks ucapan yang disediakan sebagai penggantinya.
Di ibu kota komersial Yangon, rakan dan ahli keluarga banduan berkumpul di luar penjara Insein, di mana tahanan akan dibebaskan.
Myanmar mengisytiharkan kemerdekaan daripada penjajahan British pada 4 Januari 1948, selepas perjuangan Jeneral Aung San yang menggulingkan bapa pemimpin awam, Aung San Suu Kyi.
Hari Kemerdekaan biasanya dijalankan dengan pertunjukan yang meriah, perarakan dan perhimpunan di taman-taman awam.
Tahun ini, sambutan di Naypyidaw jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan perarakan tentera, pelancar peluru berpandu dan kereta perisai yang melintasi bandar itu tahun lepas.-AFP