LOS ANGELES: Pelakon, Julia Roberts, 56, mendedahkan beliau hampir menolak tawaran melakonkan watak Anna Scott menerusi filem Notting Hill.
Julia yang bercakap kepada penulis skrip, Richard Curtis menerusi wawancara untuk majalah Vouge memaklumkan teragak-agak untuk melakonkan peranan seorang bintang filem seperti Scott dalam filem berkenaan.
”Salah satu perkara paling sukar yang pernah saya lakukan adalah berlakon dalam filem anda sebagai seorang aktres.
”Saya ketika itu berasa sangat tidak selesa. Kita beberapa kali bercakap tentang ini, tetapi saya hampir menolak tawaran itu kerana berasa janggal.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menghidupkan watak itu,” kata Julia.
Notting Hill ditayangkan pada tahun 1999 turut menampilkan pelakon popular, Hugh Grant.
Watak Scott, yang dijayakan dengan cemerlang oleh Roberts, hampir jatuh ke tangan Nicole Kidman yang hadir uji bakat bagi peranan berkenaan.