KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan empat jajahan di negeri ini bakal dilanda banjir secara berperingkat bermula pukul 10 pagi tadi sehingga esok.
JPS dalam satu kenyataan memberitahu, empat jajahan itu ialah Pasir Mas, Pasir Puteh, Gua Musang dan Kuala Krai.
Menurutnya, sehubungan dengan itu semua penduduk kawasan rendah diingatkan supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.
“Jangkaan ini berpandukan kepada amaran hujan berterusan tahap buruk oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
“Jajahan Pasir Mas antara kawasan rendah yang dijangka terlibat dengan banjir dalam lingkungan lima kilometer ialah Kampung Bujuk, Kampung Tok Uban, Kampung Chasi dan Kampung Baru.
“Kampung Bukit Awang, Kampung Gong Chokoh, Kampung Gong Sepulih dan Kampung Gong Pasir antara kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di Pasir Puteh yang dijangka dilanda banjir,” katanya.
Sementara itu, JPS berkata, di Gua Musang kawasan yang akan terkesan dengan banjir ialah Kampung Kesedar Lebir, Felda Aring 5, Kampung Batu Papan 2, Kampung Paloh 3 dan Felda Chiku 3.
Katanya, jajah Kuala Krai pula ialah Kampung Kuala Nal, Kampung Bedal, Kampung Aur Duri, Kampung Batu Lada, Kampung Manek Urai, Kg Mesek, Kampung Temiang, Kampung Manjor, Kampung Budi, Kampung Pasir Jering dan Kampung Kebun Pisang.-UTUSAN