JPN Melaka keluar panduan majlis graduasi pelajar

JPN Melaka keluar panduan majlis graduasi pelajar

RAHMAD Mariman bercakap kepada pemberita selepas menyantuni calon SPM 2023 di SMK Rahmat di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengeluarkan surat arahan mengenai panduan majlis graduasi atau konvokesyen pelajar agar tidak membebankan ibu bapa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, ini kerana penganjuran majlis secara besar-besaran di hotel semakin menjadi trend sejak kebelakangan ini.

Kata beliau, tidak salah meraikan pelajar tetapi ia perlu dibuat secara bersederhana dengan perbelanjaan minimum.

“Pandangan saya dan jabatan adalah boleh diadakan hari graduasi tapi tidak digalakkan secara besar-besaran dan tidak dibuat di hotel. Buat sahaja di sekolah dalam skala sederhana dengan perbelanjaan yang minimum.

“Meraikan majlis perpisahan dan kecemerlangan akademik pelajar tidak ada masalah tetapi jangan sampai membebankan ibu bapa. Selepas ini kita (JPN) akan mengeluarkan arahan mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat di sini, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan terdapat rungutan dalam kalangan ibu bapa mengenai kos penganjuran hari graduasi pelajar yang tinggi berikutan majlis itu diadakan di hotel.

Dalam pada itu, mengenai keraian selepas tamat SPM, Rahmad menasihati pelajar untuk meraikannya secara berhemah.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu timbul masalah sosial kelak akibat sambutan yang berlebihan.

“Tidak jadi masalah untuk meraikan tetapi bukan secara berlebihan dan berbentuk pesta sehingga menyebabkan masalah sosial. Sepatutnya ia disambut dengan kesyukuran dan berterima kasih kepada guru,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya