JPJ tambah SMED bagi pemeriksaan lesen digital - Utusan Malaysia

JPJ tambah SMED bagi pemeriksaan lesen digital

AEDY Fadly Ramli (tengah) melakukan tinjauan pelaksanaan cetakan fizikal slip pembaharuan lesen memandu dalam tempoh interim pendigitalan JPJ di Pejabat JPJ di UTC Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang mengganti dan menambah peralatan baharu bagi penguatkuasaan terutama melibatkan pemeriksaan lesen yang kini ditukar kepada bentuk digital.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, proses penggantian dan tambah baharu peralatan termasuk alat Smart Enforcement Device (SMED) itu dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

“Di peringkat JPJ, kita telah buat persediaan bagi mengganti dan menambah peralatan baharu untuk penguatkuasaan lesen (Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia), dalam perancangannya pada tahun ini.

“Antara yang akan ditambah ialah SMED, alat itu digunakan untuk semakan atas talian bagi penguatkuasaan (sama ada lesen atau cukai jalan seseorang masih hidup atau perlu diperbaharui),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan pelaksanaan cetakan fizikal slip pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dalam tempoh interim pendigitalan JPJ di Pejabat JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas sama ada ‘screenshot’ atau tangkap layar LKM menerusi aplikasi MyJPJ diterima ketika pemeriksaan di mana-mana sekatan jalan raya, beliau memberitahu, cara itu masih lagi boleh diguna pakai.

Beliau memberitahu, dalam aplikasi MyJPJ telah tersedia fungsi baharu iaitu ‘Kongsi LKM’ di mana pengguna boleh kongsikan LKM kepada sesiapa yang membawa kenderaan mereka.

“Tangkap layar masih valid (sah), buat masa sekarang masih boleh digunakan sehingga diberitahu kelak.

“Berkaitan risiko edit pula, itu tidak jadi masalah kerana kita boleh buat semakan sekiranya wujud keraguan. Dulu pun LKM ini orang boleh buat, tapi bila kita ragu, kita semaklah,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tinjauannya di Pejabat JPJ di UTC Perak, beliau berkata, penerimaan baik dilihat dalam kalangan orang awam terhadap penggunaan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu yang diseragamkan.

Menurut beliau, rata-rata pengguna menyambut baik langkah kerajaan ke arah pendigitalan lesen termasuk penggunaan aplikasi MyJPJ.

“Slip LMM yang baharu ini telah mula digunakan secara berperingkat bagi beberapa negeri. Setakat ini, telah ada tujuh negeri yang menggunakannya iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Perak.

“Mulai bulan depan, kita akan gantikan lesen fizikal lama dengan slip baharu ini. Bagaimanapun, penggunaan slip ini bergantung kepada stok sedia ada lesen lama. Kita akan habiskan dahulu kad lama dan barulah gantikan dengan slip pembaharuan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya